Jumaat, 22 Jun 2018 | 11:20am

Akauntan pun jadi mangsa Macau Scam

KUANTAN: Seorang akauntan dan peniaga menjadi mangsa terbaharu sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai bank sehingga mengakibatkan kerugian lebih RM100,000.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata kes pertama membabitkan seorang akauntan wanita berusia 31 tahun dari Cameron Highlands kerugian RM68,995.80 selepas diperdaya sindiket berkenaan, semalam.

"Sebelum itu, mangsa yang tinggal di Kampung Raja itu menerima panggilan daripada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai pegawai dari OCBC Bank.

"Suspek menyatakan mangsa mempunyai hutang tertunggak kad kredit bernilai RM3,649. Mangsa menafikan perkara berkenaan kerana dia tidak pernah memiliki kad kredit OCBC bank," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, suspek kemudian meminta mangsa menutup empat akaunnya bank yang masih aktif kerana mendakwa ada orang yang menggunakan data peribadinya untuk membuat kad kredit.

"Suspek meminta mangsa mengikut cara-cara yang diajar untuk menutup kesemua akaun banknya. Mangsa kemudian mengikut segala arahan yang diberikan dan apabila selesai dia baharu sedar wang di dalam akaun sudah tiada.

"Setelah membuat semakan dengan pihak bank mendapati transaksi wang yang dipindahkan ke dalam dua akaun bank dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM68,995.80.

"Mangsa yang berasa dirinya ditipu kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cameron Highlands semalam untuk siasatan lanjut," katanya.

Sementara itu, Mohd Wazir berkata, dalam kes berasingan, seorang peniaga di Lipis kerugian RM47,997 selepas diperdaya sindiket Macau Scam yang turut menyamar sebagai pegawai OCBC Bank Kuala Lumpur.

"Pada 11 Mei lalu, lelaki berkenaan menerima panggilan daripada seorang susek yang memperkenalkan diri sebagai Eric Chew dari bank OCBC di Kuala Lumpur.

"Suspek memaklumkan kepada mangsa bahawa dia mempunyai hutang tunggakan pembayaran bulanan Master KadOCBC sebanyak RM4,127. Mangsa menafikan dia mempunyai sebarang akaun dengan OCBC Bank," katanya.

Beliau berkata, suspek meminta mansga menghubungi pihak Bank Negara dan memberikannya nombor telefon1800-818-547 untuk membuat laporan.

"Mangsa kemudian menghubungi nombor berkenaan dan memberikan butiran diri berserta nombor telefon kepada operator. Selang 20 minit kemudian mangsa menerima panggilan telefon daripada seorang lelakiyang memperkenalkan diri sebagai Chan yang mendakwa sebagai pegawai Bank Negara Malaysia (BNM).

"Suspek juga memberitahu mahu mengemaskini akaun milik mangsa dan perlu mengikut segala arahan yang ditetapkan. Suspek kemudian mengarahkan mangsa membuat pemindahan semua wangnya ke dalam dua akaun CIMB bank yang diberikan," katanya,

Beliau berkata, mangsa membuat lima kali transaksi pemindahan wang secara berperingkat dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM47,997.

"Mangsa menyedari dirinya sudah ditipu setelah menerima maklum balas surat yang dihantar BNMbahawa tiada rekod yang dilakukan oleh bank itu pada hari kejadian.

"Kedua-dua kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan," katanya.

Berita Harian X