Jumaat, 15 Jun 2018 | 5:02pm
UNIT Forensik Bomba menjalankan siasatan di kediaman Allahyarham Nazrin di Mutiara Damansara semalam. - Foto NSTP
UNIT Forensik Bomba menjalankan siasatan di kediaman Allahyarham Nazrin di Mutiara Damansara semalam. - Foto NSTP

Bomba masih siasat punca sebenar

KUALA LUMPUR: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor masih mengenal pasti punca kebakaran yang meragut nyawa Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Sdn Bhd, Nazrin Hassan, semalam.

Penolong Pengarah Bahagian Penyiasatan Kebakaran JBPM Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata, pihak forensik sudah mengambil telefon bimbit yang ditemui di lokasi kejadian untuk dihantar ke makmal elektrik di Bukit Jelutong, Selangor bagi pemeriksaan.

"Unit anjing pengesan (K9) turut dikerahkan ke lokasi semalam, untuk meneliti sekiranya ada unsur lain dalam kebakaran itu dan masih menunggu keputusan pemeriksaan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Nazrin meninggal dunia akibat sesak nafas selepas tersedut asap berikutan terperangkap di sebuah bilik tidur dalam kejadian kebakaran di rumahnya di Mutiara Damansara di sini, semalam.

Satu mesej yang mendakwa kebakaran itu berpunca daripada telefon Nazrin yang dicaj terlalu panas dan meletup menjadi viral di media sosial hari ini.

Mesej itu dipercayai ditulis oleh ipar mangsa yang menyatakan Nazrin sedang mengecas telefon bimbit ketika tidur.

"Selepas beberapa minit kemudian, telefon itu terlalu panas dan meletup. Letupan itu menyebabkan kecederaan di bahagian belakang kepala dan menjadi punca kematiannya. Tilam turut terbakar, malah dia ditemui sudah tidak sedarkan diri.

"Ipar saya seorang yang sukakan teknologi dan sentiasa menukar telefon untuk keseronokan. Beliau mempunyai dua telefon, saya tidak tahu telefon mana yang meletup. Siapa sangka rutin seperti itu menjadi punca tiga anak muda membesar tanpa bapa mereka," kata mesej itu.

Penulis juga menasihatkan orang ramai supaya tidak mengecas telefon bimbit ketika tidur.

"Apabila mengecas telefon bimbit, pastikan ia dicaj di kawasan selamat, sebaiknya telefon bimbit tidak dicaj di dalam bilik tidur.

"Ipar saya tidak akan kembali dan anak saudara saya akan membesar tanpa mengetahui betapa hebatnya beliau. Tidak ada kesulitan sekiranya telefon bimbit tidak sampai ke jangkauan tangan anda," katanya.

Berita Harian X