Ahad, 10 Jun 2018 | 5:38pm
SEORANG murid lelaki Tahun Empat melecur di bahagian muka dan tangan akibat terkena percikan api daripada belerang mercun bola yang dibakarnya dalam kejadian di Pantai Belimbing, Alor Gajah, semalam. - Foto Khairunisah Lokman
SEORANG murid lelaki Tahun Empat melecur di bahagian muka dan tangan akibat terkena percikan api daripada belerang mercun bola yang dibakarnya dalam kejadian di Pantai Belimbing, Alor Gajah, semalam. - Foto Khairunisah Lokman

Murid melecur muka, tangan akibat mercun

ALOR GAJAH: Seorang murid lelaki Tahun Empat melecur di bahagian muka dan tangan akibat terkena percikan api daripada belerang mercun bola yang dibakarnya dalam kejadian di Pantai Belimbing, di sini, semalam.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, Muhammad Haziq Hasrizam, 10, bermain mercun seorang diri di halaman rumahnya sebelum tiba-tiba api menyambar tangan dan muka.

Bapa mangsa, Hasrizam Hasan, 36, berkata beliau hanya mengetahui insiden menimpa anak ketiga daripada lima beradik itu selepas menerima panggilan telefon daripada isterinya.

Pada awal kejadian, beliau berkata, mangsa bersembunyi di dalam bilik air kerana bimbang dimarahi sebelum perkara itu disedari kakaknya.

"Saya yang ketika itu berada di tempat kerja tidak jauh dari rumah, terus bergegas pulang dan membawanya ke Hospital Alor Gajah untuk rawatan lanjut.

"Muhammad Haziq kemudian dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka untuk pemeriksaan dan pemantauan lanjut oleh pakar.

"Saya bersyukur kerana dia tidak mengalami kecederaan parah," katanya ketika ditemui di Hospital Melaka, di sini, hari ini.

Hasrizam berkata, keadaan anaknya itu sudah stabil dan dibenarkan pulang oleh pegawai perubatan tetapi perlu berjumpa dengan doktor pakar pada temu janji akan datang.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Durian Tunggal, Mohd Sofi Abdul Wahab, berkata kanak-kanak itu hanya melecur 0.5 peratus di bahagian muka dan merupakan mangsa pertama insiden mercun di Melaka tahun ini.

"Diharap pada musim perayaan ini, ibu bapa memerhatikan gerak-geri anak agar mereka tidak memperoleh bekalan mercun.

"Selain itu, saya berharap pihak berkuasa terus mempergiatkan lagi pemantauan penjualan mercun. Walaupun ada sesetengah pihak cuba mencari duit tambahan sempena Hari Raya dengan menjual mercun, tindakan ini mengundang bahaya kepada orang lain," katanya.

Berita Harian X