Sabtu, 9 Jun 2018 | 2:55pm
ANGGOTA bomba membantu mangsa yang tersepit di tempat duduk penumpang selepas kenderaan dinaikinya merempuh tiang elektrik di Simpang Sungai Saeh, Miri. - Foto ihsan bomba
ANGGOTA bomba membantu mangsa yang tersepit di tempat duduk penumpang selepas kenderaan dinaikinya merempuh tiang elektrik di Simpang Sungai Saeh, Miri. - Foto ihsan bomba

30 minit tahan sakit

MIRI: Seorang kelindan lori menahan sakit hampir setengah jam akibat tersepit di tempat duduk penumpang selepas kenderaan dinaikinya merempuh tiang elektrik di Simpang Sungai Saeh di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu, mangsa berusia 39 tahun tersepit pada bahagian kaki kerana bahagian depan lori dinaikinya itu remuk selepas rempuhan itu.

Difahamkan, lori membawa muatan kain itu dalam perjalanan dari Miri ke Bintulu sebelum pemandu lori berusia lingkungan 30-an hilang kawalan dan merempuh tiang elektrik di tepi jalan.

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Miri berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.53 tengah hari berhubung insiden berkenaan.

Katanya, sebuah jentera bersama sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Miri kemudian bergegas ke lokasi bagi menyalurkan bantuan.

"Setibanya ke lokasi mendapati mangsa masih tersepit, manakala pemandu lori berkenaan berjaya menyelamatkan diri.

"Kedua-dua kaki mangsa tersepit akibat rempuhan kuat akibat kemalangan itu, bagaimanapun, mangsa berjaya dikeluarkan hampir setengah jam kemudian," katanya.

Jurucakap itu berkata, mangsa kemudian diserahkan kepada pasukan perubatan untuk tindakan lanjut dan dilaporkan stabil.

Berita Harian X