Rabu, 6 Jun 2018 | 11:04pm
KEADAAN kenderaan yang remuk akibat kemalangan di Kilometer 403.9 Lebuh Raya Utara Selatan arah Ipoh petang semalam. - Foto ihsan Bomba
KEADAAN kenderaan yang remuk akibat kemalangan di Kilometer 403.9 Lebuh Raya Utara Selatan arah Ipoh petang semalam. - Foto ihsan Bomba
ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan pemandu lori yang maut tersepit di tempat duduknya setelah terbabit dalam kemalangan dengan lori tangki dan sebuah MPV di Kilometer 403.9 Lebuh Raya Utara Selatan arah Ipoh petang hari ini. - Foto ihsan Bomba

Pemandu lori maut tersepit

KUALA KUBU BARU: Seorang pemandu lori maut akibat tersepit di tempat duduknya selepas terbabit kemalangan dengan lori tangki dan kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kilometer 403.9 Lebuh Raya Utara Selatan arah Ipoh, dekat susur keluar Plaza Tol Tanjung Malim, di sini, petang tadi.

Ketika nahas jam 4.45 petang itu, mangsa dikenali sebagai Mohamad Haikal Baharom, 28, dipercayai terlanggar belakang lori tangki ketika melalui laluan Lembah Beringin-Tanjung Malim.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Lim Bhak Pai, berkata kemalangan membabitkan tiga kenderaan yang menghala dari Kuala Lumpur ke utara.

"Kemalangan berlaku ketika lori Hino dipandu mangsa yang dalam perjalanan dari Selayang ke Manjung melanggar belakang lori tangki dipandu lelaki berusia 33 tahun yang bergerak di lorong kiri.

"Pada masa sama, lori tangki terbabit pula melanggar MPV Naza Citra di hadapannya yang dipandu lelaki berusia 47 tahun," katanya.

Beliau berkata, pelanggaran itu menyebabkan pemandu lori Hino tersepit dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Katanya, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Kuala Kubu untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu, Penolong Penguasa Bomba Kamil Hamadan, berkata anggota bomba mengambil masa kira-kira 10 minit untuk mengeluarkan pemandu lori yang tersepit sebelum menyerahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Berita Harian X