Khamis, 31 Mei 2018 | 5:04pm

Mukhriz gagal saman fitnah terhadap Tunku Abdul Aziz

KUALA LUMPUR: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, gagal dalam saman fitnahnya terhadap bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim, berhubung dakwaan pakatan sulit menjanjikan Mukhriz sebagai Perdana Menteri jika Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Nordin Hassan, hari ini menolak tuntutan saman berkenaan selepas mendapati dua kenyataan Tunku Abdul Aziz tidak bersifat memfitnah kerana jika dibaca secara keseluruhan, ia tidak menyerang integriti dan kredibiliti Mukhriz.

Sehubungan itu, Nordin memerintahkan Mukhriz selaku plaintif, untuk membayar kos sebanyak RM15,000.

Dalam penghakimannya, beliau berkata, dua kenyataan dibuat Tunku Abdul Aziz selaku defendan, tidak mendedahkan Mukhriz kepada kebencian dan hinaan yang boleh merendahkannya pada pandangan masyarakat.

Kenyataan pertama yang membabitkan Tun Dr Mahathir Mohamad serta Lim Kit Siang, bertajuk 'Memang wujud pakatan sulit antara Tun Mahathir dan Kit Siang' - Tunku Aziz pada 30 Disember 2016 dan disiarkan dalam blog AIDCNEWS.

Kenyataan kedua pula dikeluarkan pada 3 Januari tahun lalu bertajuk 'Tunku Abdul Aziz gesa Mukhriz, Kit Siang buat pengakuan bersumpah' yang disiarkan portal Malaysia Outlook.

Nordin berkata, dua kenyataan berkenaan jika diteliti melalui maksud semula jadinya, tidak bersifat memfitnah seperti didakwa Mukhriz dalam pernyataan tuntutan bahawa ia bermaksud antaranya, beliau tidak telus dan jujur dalam karier politik dan membelakangkan rakan politik dengan menyembunyikan pakatan rahsia.

"Secara kesimpulannya, kenyataan defendan tidak bersifat fitnah terhadap plaintif menurut prinsip undang-undang.

"Justeru, plaintif gagal membuktikan kes terhadap defendan pada imbangan kebarangkalian.

"Dengan itu, tuntutan saman plaintif ditolak dan plaintif diperintahkan membayar kos RM15,000 kepada defendan," katanya.

Mukhriz menfailkan saman itu pada 7 Februari tahun lalu dengan mendakwa Tunku Abdul Aziz mengeluarkan kenyataan pada 30 Disember 2016 bertajuk 'Memang wujud pakatan sulit antara Tun Mahathir dan Kit Siang' - Tunku Aziz.

Beliau dalam pernyataan tuntutan berkata, selepas mengeluarkan notis kepada Tunku Abdul Aziz bagi membuktikan dakwaannya, defendan sekali lagi sebagai balasan menerbitkan kenyataan pada 3 Januari tahun lalu bertajuk 'Tunku Abdul Aziz gesa Mukhriz, Kit Siang buat pengakuan bersumpah.'

Sementara itu, peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili Mukhriz, ketika ditemui pemberita selepas prosiding, berkata beliau akan mendapatkan arahan lanjut daripada anak guamnya sama ada untuk memfailkan rayuan.

PEGUAM , Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili Datuk Seri Mukhriz Mahathir menjawab soalan media selepas Mahkamah Tinggi menolak saman fitnah Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir terhadap Bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim. - Foto Mohd Yusni Ariffin
PEGUAM , Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili Datuk Seri Mukhriz Mahathir menjawab soalan media selepas Mahkamah Tinggi menolak saman fitnah Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir terhadap Bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim. - Foto Mohd Yusni Ariffin
Berita Harian X