Sabtu, 19 Mei 2018 | 3:45pm
SEBUAH kenderaan pelbagai guna (MPV) dihempap kontena yang terjatuh daripada sebuah treler dalam kemalangan di Kilometer 355.6 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan berhampiran Bidor. - Foto Ihsan Bomba

Kontena hempap MPV

TAPAH: Pemandu dan penumpang sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) cedera selepas kenderaan dinaiki dihempap kontena yang terjatuh dari sebuah treler di Kilometer 355.6, Lebuhraya Utara Selatan, arah selatan, berhampiran Bidor, di sini hari ini.

Kemalangan jam 10.50 pagi itu membabitkan lima kenderaan iaitu tiga lori, sebuah Toyota Innova dan sebuah van Perodua Rusa yang dalam perjalanan ke Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail, berkata siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah lori tangki dipercayai membawa muatan serbuk kapur dilanggar di bahagian belakang oleh sebuah lori tangki tanpa muatan.

"Lori tangki tanpa muatan itu kemudian merempuh bahagian tepi sebuah lori kontena, akibat pelanggaran itu, kontena kosong yang dibawa tercabut dan terjatuh atas MPV seterusnya bergolek terkena sebuah van.

"Pemandu dan penumpang MPV mengalami kecederaan dan dibawa ke Hospital Slim River untuk rawatan lanjut dan pegawai penyiasat sedang mendapatkan jumlah serta butiran mangsa yang cedera," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, lokasi kemalangan adalah laluan lurus dua lorong dan keadaan cuaca baik.

"Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 43 (1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan tiada sebarang tangkapan dibuat setakat ini," katanya.

Sementara itu, Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Bidor berkata, pihaknya ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat mengenai kemalangan itu.

"Sebaik tiba, kami mendapati kemalangan membabitkan lima kenderaan dan terdapat dua mangsa yang tersepit dalam MPV.

"Mangsa tersepit dipercayai selepas kenderaan dinaiki dihempap kontena yang terjatuh dari sebuah treler.

"Berdasarkan maklumat awal terdapat lima pemandu dan penumpang dalam MPV berkenaan," katanya.

Menurutnya, bomba kemudian mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan menyelamat sebelum menyerahkan mangsa kepada pasukan perubatan yang tiba di lokasi kejadian.

"Difahamkan pemandu lori tangki tanpa muatan turut cedera dalam kejadian itu, manakala pemandu dan kelindan dua lagi lori yang terbabit kemalangan itu terselamat.

"Pemandu dan penumpang van juga dilaporkan selamat," katanya.

Berita Harian X