Jumaat, 11 Mei 2018 | 8:58pm
KEADAAN sebuah kereta selepas terlibat dalam satu kemalangan, di jalan Gudon, Berhampiran Perumahan UCA 2, Menggatal, Kota Kinabalu. - Foto Ihsan Bomba
KEADAAN sebuah kereta selepas terlibat dalam satu kemalangan, di jalan Gudon, Berhampiran Perumahan UCA 2, Menggatal, Kota Kinabalu. - Foto Ihsan Bomba

8 cedera van bertembung kereta

KOTA KINABALU: Seramai 12 penumpang van melalui detik cemas apabila kenderaan dinaiki terbabas selepas bertembung dengan kenderaan lain di Jalan Gudon berhampiran perumahan UCA 2, Menggatal, dekat sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.15 petang itu, lapan mangsa iaitu empat penumpang van serta pemandu dan tiga penumpang kereta jenis Perodua Bezza mengalami kecederaan ringan, manakala lapan lagi penumpang van tidak cedera.

Ketua Operasi, Pegawai Bomba Kanan Dua, Balai Bomba dan Penyelamat Lintas, Jamikah Ismail, berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan itu pada jam 2.25 petang dan terus bergegas ke lokasi bersama tujuh anggota.

"Semua mangsa yang cedera sudah dibawa ke hospital berhampiran oleh pasukan kecemasan bagi mendapatkan rawatan lanjut.

"Kita juga melakukan pemeriksaan di sekitar kawasan kemalangan dan mendapati tiada sebarang perkara yang boleh membahayakan orang awam atau pemandu kenderaan lain," katanya.

Jamikah berkata, operasi tamat sepenuhnya pada jam 5 petang.

Berita Harian X