Rabu, 2 Mei 2018 | 3:42pm
KEADAAN kereta yang dinaiki mangsa selepas terbabas dan melanggar pokok kelapa sawit di Jalan Serdang - Kelang Lama, petang semalam.- NSTP/IHSAN PEMBACA
KEADAAN kereta yang dinaiki mangsa selepas terbabas dan melanggar pokok kelapa sawit di Jalan Serdang - Kelang Lama, petang semalam.- NSTP/IHSAN PEMBACA

Wanita maut, suami, tiga anak cedera

KULIM: Seorang wanita maut manakala suami dan tiga anak mereka cedera dalam kemalangan di Jalan Serdang-Kelang Lama berhampiran Pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri Cawangan Kulim dekat sini, petang semalam.

Dalam kejadian jam 6.45 petang itu, mangsa Rahmah Mohamad Yusop, 43 yang beralamat di Taman Mutiara Sungai Kob, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ahmad Nasir Jaafar berkata, kejadian berlaku ketika keluarga itu, yang menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza, dalam perjalanan dari Serdang menghala ke Kelang Lama.

"Berdasarkan siasatan awal dipercayai kereta yang dipandu suami mangsa, berusia 42 tahun, secara tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas ke bahu kiri jalan sebelum melanggar sebatang pokok kelapa sawit.

"Akibat pelanggaran itu mangsa yang duduk di bahagian penumpang hadapan mengalami kecederaan parah di kepala dan badan serta meninggal dunia di tempat kejadian," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ahmad Nasir berkata, orang ramai yang menyaksikan kejadian itu kemudian menghubungi pihak polis, ambulans serta pasukan Bomba dan Penyelamat untuk bantuan kecemasan.

Beliau berkata, suami mangsa serta tiga anak berusia 19 bulan, 11 tahun dan lima tahun dikejarkan ke Hospital Kulim untuk rawatan lanjut.

Sementara, jenazah Rahmah dihantar ke bilik Forensik Hospital Kulim untuk bedah siasat.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X