Rabu, 2 Mei 2018 | 3:32pm
GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan

Dituduh rompak etnik Rohingya

KUALA LUMPUR: Seorang penghantar surat khabar dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan melakukan rompak berkumpulan terhadap sepasang suami isteri etnik Rohingya, minggu lalu.

K Sankar, 32, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik saja pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Dr Gan Chee Keong.

Mengikut pertuduhan, dia bersama dua lagi yang masih bebas didakwa melakukan perbuatan berkenaan terhadap Ismail Abul Kassim dan isterinya, Robizah Khatu Abdul Munaf dengan niat melarikan wang tunai RM1,500, dua telefon bimbit dan dua kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) yang keseluruhannya membabitkan kerugian RM2,500.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di belakang Flat Sri Sabah, Cheras antara jam 9.15 dan 9.40 malam, 24 April lalu.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaan Muhammad Farith Muhammad Faizal manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah membenarkan Sankar diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan perlu lapor diri di balai polis berhampiran dua minggu sekali, berkelakuan baik dalam tempoh jaminan dan tidak dibenarkan mengganggu mangsa.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 16 Mei ini.

Sementara itu, di mahkamah sama, seorang lelaki mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memiliki sebilah keris berukuran 22 sentimeter tanpa kebenaran sah.

Shahril Azhar Mohamed Rani, 39, didakwa melakukan perbuatan itu di Petronas Jalan Semilang, Taman Tenaga, Cheras, pada jam 6.15 petang, 28 April lalu.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Merbahaya 1958 yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun, jika sabit kesalahan.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin kerana tiada penjamin hadir dan menetapkan 16 Mei ini juga untuk sebutan kes.

Berita Harian X