Jumaat, 20 April 2018 | 6:47pm
BEKAS Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir (kiri) dan bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim. - Foto NSTP
BEKAS Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir (kiri) dan bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim. - Foto NSTP

31 Mei keputusan saman fitnah Mukhriz

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi, hari ini menetapkan 31 Mei depan untuk memutuskan kes saman fitnah bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir terhadap bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim.

Saman itu berhubung dakwaan fitnah isu pakatan sulit membabitkan Mukhriz dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Hakim Datuk Nordin Hassan menetapkan tarikh itu selepas peguam Haniff Khatri Abdulla yang mewakili Mukhriz memaklumkan kedua-dua pihak sudah memfailkan hujahan bertulis masing-masing.

Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua pihak memfailkan hujahan balasan dalam tempoh tiga minggu, sekiranya ada.

Terdahulu Haniff Khatri berkata, pihaknya membangkitkan isu berhubung niat Tuanku Abdul Aziz ketika membuat kenyataan terhadap anak guamnya dalam hujahan bertulis mereka.

Sementara itu, peguam Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos yang mewakili Tunku Abdul Aziz berkata, antara hujah yang dikemukakan adalah kenyataan dibuat anak guamnya tidak merujuk kepada plaintif.

Menurutnya, kenyataan itu adalah pendapat dan analisis terhadap perkembangan politik membabitkan pakatan sulit antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Lim.

Pada 7 Februari lalu, Mukhriz memfailkan saman fitnah terhadap bekas Naib Pengerusi DAP Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim berhubung dakwaan komplot membabitkannya dan Lim Kit Siang.

Mukhriz yang juga Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menamakan Tunku Abdul Aziz sebagai defendan.

Berdasarkan writ dan penyata tuntutan, Mukhriz mendakwa pada 30 Disember tahun lalu defendan mengeluarkan kenyataan fitnah bertajuk 'Memang Wujud Pakatan Sulit antara Tun Mahathir dan Kit Siang' dan dilaporkan di dalam blog AIDCNews.

Mukhriz mendakwa pada 1 Januari lalu, pihaknya mengemukakan penafian secara terbuka dan mengemukakan notis tuntutan meminta defendan membuktikan kenyataan fitnahnya.

Bagaimanapun, pada 3 Januari lalu defendan menerbitkan atau menyebabkan terbit kenyataan media bertajuk 'Tunku Abdul Aziz gesa Mukhriz, Kit Siang buat pengakuan bersumpah.'

Kenyataan fitnah itu diterbitkan di portal Malaysia Outlook dan kedua-duanya tersebar meluas dan diterbitkan pelbagai media serta portal.

Plantif mendakwa defendan berniat jahat bagi menyebabkan kebencian, cacian dan hinaan terhadap dirinya.

Mukhriz mendakwa kenyataan fitnah itu menyebabkan reputasinya tercemar, terdedah kepada skandal dan cemuhan awam.

Oleh itu, beliau memohon ganti rugi am dan injunksi bagi menghalang defendan mengeluarkan kenyataan fitnah itu.

Berita Harian X