Rabu, 18 April 2018 | 10:08am
PAIP besi yang digunakan memukul seorang lelaki dalam kejadian di terminal bas Kalansanan, Inanam. - Foto ihsan pembaca
PAIP besi yang digunakan memukul seorang lelaki dalam kejadian di terminal bas Kalansanan, Inanam. - Foto ihsan pembaca

Pukul guna paip besi kerana ditegur meludah

KOTA KINABALU: Berang ditegur kerana meludah, seorang pemandu van disyaki memukul seorang lelaki dengan paip besi sehingga mangsa menerima lima jahitan akibat kecederaan di kepala.

Dalam kejadian di terminal bas Kalansanan, Inanam di sini, jam 3.30 petang Isnin lalu, mangsa berusia 54 tahun yang juga pemandu van dan sedang menunggu penumpang, menegur suspek kerana meludah ke arahnya.

Suspek dikatakan berang dengan teguran itu lalu cuba memukul mangsa dan berlaku pergaduhan sebelum dia mengambil paip besi dari vannya.

Berikutan itu, mangsa dikatakan cuba melarikan diri tetapi terjatuh.

Difahamkan, suspek kemudian memukul belakang badan, lengan dan kepala mangsa dengan paip besi sebelum dileraikan orang ramai.

Mangsa yang dikejarkan ke hospital oleh rakannya, kemudian membuat laporan di Balai Polis Karamunsing.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra, berkata susulan laporan itu, polis menahan suspek berusia 62 tahun, semalam, dan merampas paip besi berukuran 51 sentimeter dipercayai digunakan ketika kejadian.

"Siasatan mendapati pergaduhan itu dipercayai akibat perselisihan faham sehingga menyebabkan mangsa cedera dan menerima lima jahitan di kepala," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

Berita Harian X