Jumaat, 13 April 2018 | 3:47pm

Pasangan peragut tumpas

KUALA LUMPUR: Pasangan kekasih ditahan ketika cuba menyamun seorang pelancong warga Filipina di Jalan Raja Laut, di sini Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Shaharuddin Abdullah, berkata dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, pelancong wanita berusia 32 tahun itu berada di hadapan hotel tempat beliau menginap.

Menurutnya, mangsa dipercayai berseorangan sedang menggunakan telefon sebelum didatangi dua suspek menaiki motosikal.

"Salah soerang suspek lelaki kemudian turun dan merampas telefon pintar mangsa dan melarikan diri, bagaimanapun tindakan itu disedari orang awam yang berada di lokasi kejadian, yang berjaya menangkap kedua-dua suspek," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Shaharuddin berkata, kedua-dua suspek yang berjaya ditangkap oleh orang awam kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

"Suspek berusia 18 dan, 20 tahun adalah pasangan kekasih dan kali pertama melakukan kegiatan terbabit.

Mereka kini direman selama tiga hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaaan," katanya.

Berita Harian X