Khamis, 12 April 2018 | 3:28pm
PENGUAT kuasa KPDNKK Kuala Lumpur merampas kalkulator saintifik tiruan jenama casio dalam Ops APD dijalankan di sebuah premis di Lorong Haji Taib.
PENGUAT kuasa KPDNKK Kuala Lumpur merampas kalkulator saintifik tiruan jenama casio dalam Ops APD dijalankan di sebuah premis di Lorong Haji Taib.

Kalkulator pun kena ada yang tiruan

KUALA LUMPUR: Tidak cukup dengan mengaut keuntungan menjual jam tangan, beg tangan, dompet, kasut dan minyak wangi tiruan, peniaga barang tiruan di ibu negara kini turut mengambil kesempatan dengan menjual kalkulator saintifik tiruan menggunakan jenama Casio kepada pelanggan.

Sasaran mereka adalah pelajar sekolah dan penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) yang menggunakan peralatan pengiraan elektronik berkenaan.

Dijual dengan harga antara RM80 hingga RM200 bergantung kepada model ditiru menyamai yang asli, kalkulator saintifik berkenaan turut didatangkan dalam kotak asli lengkap dengan buku panduan penggunaan.

Bagaimanapun, tidak seperti kalkulator saintifik asli yang mampu mengira permasalahan matematik yang sukar, kemampuan fungsi kalkulator ini pula adalah terhad.

Ada antaranya tidak dapat melakukan permasalahan matematik seperti logaritma, algebra, arimetik, trigonometri, persamaan kuadratik dan bentuk piawai selain dikhuatiri ia memberikan jawapan tidak tepat terhadap sebarang permasalahan matematik.

Kegiatan penjualan kalkulator tiruan ini berjaya dihidu penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kuala Lumpur yang menyerbu sebuah premis di Lorong Haji Taib, semalam.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Negeri (KPPN), Low Swee Hon berkata, dalam serbuan itu, KPDNKK Kuala Lumpur merampas 201 unit kalkulator santifik Casio tiruan bernilai RM3,015.

"Serbuan berkenaan dijalankan bersama wakil cap dagang jenama Casio di negara ini yang mengenal pasti kegiatan penjualan kalkulator saintifik tiruan berkenaan.

"Kesemua barang yang dirampas bukan saja menyalahi Akta Perihal Dagangan 2011 kerana menjual barang tiruan sebaliknya, barang berkenaan tidak berkualiti selain tidak berfungsi sama seperti produk asli," katanya ketika dihubungi hari ini.

.

Menurut Swee Hon, pengguna diingatkan supaya berhati-hati ketika membeli agar tidak terbeli produk tiruan berkenaan.

Katanya, ini kerana produk tiruan berkenaan tidak menjalani ujian penilaian kualiti dan dikhuatiri memberi jawapan tidak tepat terhadap sebarang permasalahan matematik sekaligus mengelirukan.

Berita Harian X