Isnin, 2 April 2018 | 8:07pm
VIDEO kemalangan yang sempat dirakam seorang pengguna lebuh raya sehingga menjadi viral di media sosial hari ini.

Lelaki nyaris maut rempuh belakang lori telur

KEPALA BATAS: Beribu biji telur ayam bertaburan di Kilometer (Km) 115.3 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara dipercayai angkara seorang pemandu lelaki yang terlelap sebelum kenderaannya merempuh belakang lori membawa muatan itu jam 9 pagi tadi.

Dalam kejadian itu, mangsa, Heng Tek Cheng tidak mengalami kecederaan manakala kereta dipandunya remuk teruk di bahagian hadapan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata kereta dipandu mangsa datang dari arah Butterworth menghala ke Sungai Petani, Kedah dan dipandu di lorong kiri lebuh raya.

Menurutnya, sebaik tiba di Km 115.3, mangsa terlelap sebelum merempuh bahagian belakang lori membawa muatan telur yang berada di hadapannya.

Katanya, kesan daripada rempuhan itu, kereta mangsa dan lori berkenaan terbabas ke pembahagi jalan di lorong kanan lebuh raya.

"Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan pemandu lori berusia 55 tahun tidak mengalami kecederaan. Ekoran kejadian, berlaku kesesakan akibat kedua-dua lorong terhalang," katanya.

Noorzainy berkata, siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti punca kemalangan manakala video kemalangan itu sempat dirakam seorang pengguna lebuh raya sehingga menjadi viral di media sosial hari ini.

Berdasarkan rakaman berdurasi hampir tiga minit itu, kereta dipandu mangsa dilihat terhuyung-hayang ke kiri dan kanan lebuh raya.

Malah, ada satu ketika, kereta mangsa hampir terbabas ke bahu jalan sebelum ia merempuh belakang lori membawa muatan telur ayam.

KEADAAN kereta yang remuk selepas merempuh belakang lori membawa muatan telur. - Foto ihsan pembaca
KEADAAN kereta yang remuk selepas merempuh belakang lori membawa muatan telur. - Foto ihsan pembaca
LORI terbabas ke pembahagi jalan di lorong kanan lebuh raya. - Foto ihsan pembaca
LORI terbabas ke pembahagi jalan di lorong kanan lebuh raya. - Foto ihsan pembaca
SIASATAN masih diteruskan bagi mengenal pasti punca kemalangan. - Foto ihsan pembaca
SIASATAN masih diteruskan bagi mengenal pasti punca kemalangan. - Foto ihsan pembaca
TIADA kemalangan jiwa dilaporkan dan pemandu lori tidak mengalami kecederaan. - Foto ihsan pembaca
TIADA kemalangan jiwa dilaporkan dan pemandu lori tidak mengalami kecederaan. - Foto ihsan pembaca
Berita Harian X