Isnin, 19 March 2018 | 3:16pm

Mayat mangsa langgar lari ditemui

KUALA LUMPUR: Mayat seorang lelaki dipercayai mangsa langgar lari ditemui di KM34.3 Lebuhraya KESAS di laluan arah USJ menuju Klang kira-kira jam 2.20 pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan penguatkuasaan Trafik Selangor Superintendan Azman Shari'at, berkata mangsa dikenali sebagai Al Baharin Mohdzlan, 31, dipercayai menaiki motosikal berikutan penemuan topi keledar di sisi mayatnya.

"Pada jam 2.20 pagi tadi, kita menemui mayat seorang lelaki di kedudukan lorong paling kanan (fast lane) KM34.3 Lebuhraya KESAS.

"Hasil pemeriksaan mendapati, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan sudah meninggal dunia," katanya ketika dihubungi pagi tadi.

Bagaimanapun, Azman berkata, hasil pemeriksaan tidak menemui motosikal di lokasi mangsa ditemui maut, sebaliknya polis hanya menemui topi keledar berwarna merah di sisi mayat lelaki itu.

"Berdasarkan penemuan topi keledar itu, kita percaya mangsa menaiki sebuah motosikal yang belum lagi dikenal pasti.

"Malah, kita kini sedang cuba mengesan di mana motosikal berkenaan dan sehingga kini belum ada saksi tampil memberikan maklumat," katanya.

Mengikut Azman, pihaknya kini sedang meneliti jika terdapat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian.

"Buat masa ini, siasatan menjurus kepada kes langgar lari mengikut Seksyen 41(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Kita berharap agar saksi kejadian dapat tampil membuat laporan atau menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Mohamad Hamdan Jeramatin di talian 019-4642222," katanya.

Berita Harian X