Isnin, 12 March 2018 | 9:35am
KEADAAN nahas 3 kenderaan di Kilometer 19.3 Jalan Seremban-Simpang Pertang malam tadi. - Foto ihsan pembaca
KEADAAN nahas 3 kenderaan di Kilometer 19.3 Jalan Seremban-Simpang Pertang malam tadi. - Foto ihsan pembaca

Bayi maut tercampak dari kereta

JELEBU: Bayi perempuan berusia sembilan bulan maut selepas tercampak keluar daripada kereta dipandu ibunya yang terbabit kemalangan jalan raya di Kilometer 19.3 Jalan Seremban - Simpang Pertang, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Jelebu, Deputi Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, kemalangan membabitkan tiga kenderaan itu berlaku pada jam 7.30 malam.

Katanya, ketika kejadian, Toyota Vios dipandu Lim Hui Chee, 25, dalam perjalanan pulang ke rumah di Titi dari arah Seremban.

"Ketika tiba di tempat kejadian, kereta dipandu mangsa hilang kawalan ketika mengambil selekoh dan masuk ke laluan bertentangan sebelum melanggar sebuah Honda Civic dari arah Kuala Klawang.

"Kereta mangsa dipercayai berpusing beberapa kali sebelum dilanggar sebuah PROTON Saga juga dari arah Kuala Klawang.

"Akibat kemalangan itu, bayi berkenaan, Wong Qan Ton yang dipangku bapanya, Wong Ting Sing, 26, tercampak keluar daripada kereta ke tengah jalan," katanya.

Kamarul Rizal berkata, pemandu PROTON Saga, Luqman Al Hakim Fouzar, 23, dari Simpang Durian, cedera di leher, manakala pemandu dan penumpang Honda Civic dari Pelabuhan Klang tidak mengalami kecederaan.

Katanya, bayi berkenaan dihantar ke Hospital Jelebu sebelum dirujuk ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ).

Bagaimanapun, bayi itu disahkan meninggal dunia kira-kira jam 7.50 pagi ini berikutan mengalami kecederaan parah di kepala.

"Polis masih menjalankan siasatan lanjut kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, suasana sedih menyelubungi Unit Forensik HTJ apabila ahli keluarga berkumpul sambil menunggu mayat Qan Ton selesai dibedah siasat.

Bagaimanapun, usaha mendapatkan temu bual dengan ibu bapa mangsa tidak berhasil apabila mereka enggan bercakap dengan media kerana masih sedih dengan tragedi yang berlaku.

Berita Harian X