Selasa, 6 March 2018 | 7:28pm
Bekas Naib Presiden DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim. - Foto Saifullizan Tamadi
Bekas Naib Presiden DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim. - Foto Saifullizan Tamadi

'Mukhriz perlu buat akuan bersumpah'

KUALA LUMPUR: Bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim memberitahu Mahkamah Tinggi, beliau sudah mendesak Datuk Seri Mukhriz Mahathir membuat pengakuan bersumpah jika kenyataannya berhubung perjanjian sulit menjadikan bekas Menteri Besar Kedah itu sebagai perdana menteri adalah tidak benar.

Antara lain, perjanjian sulit yang didakwa antara Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang, itu ialah Mukhriz dijanjikan jawatan Perdana Menteri jika pembangkang menang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Tunku Abdul Aziz dalam keterangannya hari ini berkata, beliau mendesak Mukhriz membuat pengakuan bersumpah melalui kenyataan media keduanya pada 30 Disember 2017.

Menjawab soalan peguamnya, Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos, pada sesi pemeriksaan semula, Tunku Abdul Aziz berkata, pengakuan bersumpah itu perlu dilakukan kerana Mukhriz mendakwa kenyataan beliau tidak benar.

"Kalau itu tidak betul, kenapa nak peduli? Mukhriz kena buat pengakuan bersumpah dan cakap semua itu tidak betul kepada orang ramai," katanya.

Tunku Abdul Aziz berkata demikian dalam kes saman fitnah dikemukakan Mukhriz terhadapnya yang mendakwa Tunku Abdul Aziz selaku defendan mengeluarkan kenyataan pada 30 Disember 2016 bertajuk 'Memang wujud pakatan sulit antara Tun Mahathir dan Kit Siang' - Tunku Aziz.

Mukhriz dalam pernyataan tuntutan berkata, selepas mengeluarkan notis kepada Tunku Abdul Aziz bagi membuktikan dakwaannya, defendan sekali lagi sebagai balasan menerbitkan kenyataan pada 3 Januari tahun lalu bertajuk 'Tunku Abdul Aziz gesa Mukhriz, Kit Siang buat pengakuan bersumpah.'

Sementara itu dalam pernyataan saksinya, Tunku Abdul Aziz berkata, pengakuan bersumpah yang dicadangkan adalah jalan penyelesaian bagi Mukhriz menjelaskan pertanyaan masyarakat mengenai siapa bakal menjadi perdana menteri jika pakatan pembangkang memenangi PRU-14.

Tunku Abdul Aziz berkata, kenyataan media kedua itu diterbitkan sebagai menjawab kenyataan Mukhriz pada 1 Januari tahun lalu.

Defendan berkata, kenyataan Mukhriz langsung tidak mempunyai kaitan dengan isu ditimbulkan dalam kenyataan media keduanya yang menyatakan wujudnya pakatan antara Dr Mahathir dan Kit Siang.

Katanya, beliau terkejut dengan respon Mukhriz kerana menyangka pihak yang sepatutnya memberikan jawapan balas adalah Mahathir atau Kit Siang atau kedua-dua pihak itu.

Selepas sesi pemeriksaan semula, Jahaberdeen memberitahu mahkamah, pihaknya menutup kes.

Hakim Datuk Nordin Hassan menetapkan 13 April ini bagi kedua-dua belah pihak mengemukakan hujahan.

Berita Harian X