Khamis, 1 March 2018 | 5:25pm

Perut ditikam, wang RM33,000 disamun

IPOH: Lelaki berusia 25 tahun cedera di perut dipercayai akibat ditikam dua perompak ketika memasukkan wang syarikat sebanyak RM33,000 di sebuah bank di Jalan Sultan Yusoff, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby, berkata siasatan awal mendapati mangsa yang bekerja di sebuah syarikat alat ganti kenderaan masuk ke bank itu pada jam 3 petang.

Beliau berkata, mangsa didatangi dua lelaki yang memakai topi keledar dan menaiki motosikal.

Katanya, seorang daripada suspek meletakkan pisau pada perut mangsa dan memintanya menyerahkan wang berkenaan.

"Mangsa menyerahkan wang terbabit kerana bimbang namun dia cedera di bahagian kanan perut dipercayai akibat ditikam.

"Turut disamun wang tunai peribadi berjumlah RM150 dan tiga cincin emas," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mohd Ali berkata, susulan kejadian itu mangsa dimasukkan ke sebuah hospital swasta di sini untuk rawatan.

"Siasatan mendapati tiada saksi kejadian dan tiada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi.

"Siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan," katanya.

Difahamkan, isteri mangsa membuat laporan di Balai Polis Sungai Senam di sini malam tadi.

Berita Harian X