Selasa, 27 Februari 2018 | 5:32pm
Bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan bersama Tun Dr. Mahathir Mohamad hadir ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk mendengar keputusan pertuduhan cuba mensabotaj perkhidmatan perbankan dan kewangan negara. - Foto Mohd Yusni Ariffin
Bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan bersama Tun Dr. Mahathir Mohamad hadir ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk mendengar keputusan pertuduhan cuba mensabotaj perkhidmatan perbankan dan kewangan negara. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Dr Mahathir tidak tahu dua kenyataan memfitnah Mukhriz

KUALA LUMPUR: "Tak tahu," jawab Tun Dr Mahathir Mohamad ketika ditanya mengenai dua kenyataan yang didakwa mengandungi perkataan fitnah terhadap anak lelakinya, bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Dr Mahathir, 92, yang hadir di Mahkamah Tinggi, hari ini, sebagai saksi Mukhriz, berkata demikian ketika disoal balas oleh peguam Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos yang mewakili bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim.

Dua kenyataan terbabit adalah berhubung dakwaan bahawa Mukhriz dijanjikan jawatan Perdana Menteri sekiranya pembangkang menang dalam Pilihan Raya Umum 14 (PRU14).

Berikutan jawapan itu, Jahabardeen memberitahu mahkamah bahawa beliau tidak mempunyai soalan lain walaupun hanya baru beberapa minit bertanyakan soalan.

Ketika disoal semula oleh peguamnya, Mohamed Haniff Khatri Abdullah mengenai latar belakang kes saman fitnah itu dan apakah maksud bahawa beliau tidak tahu mengenainya, Dr Mahathir berkata; "Saya tidak tahu, saya tidak baca dua kenyataan itu. Saya mengetahui kes ini apabila dijemput menjadi saksi."

Bagaimanapun dalam pernyataan saksi yang dikemukakan di mahkamah, Dr Mahathir ketika dirujuk dengan dua kenyataan berkenaan, berkata ia adalah tohmahan dan palsu sama sekali.

Dr Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) berkata, beliau tidak pernah berkomplot dengan Penasihat DAP, Lim Kit Siang untuk mengadakan perjanjian rahsia atau pakatan sulit semata-mata bagi menaikkan Mukhriz sebagai Perdana Menteri.

Beliau berkata demikian dalam kes saman fitnah dikemukakan Mukhriz terhadap Tunku Aziz yang mendakwa defendan (Tunku Aziz) mengeluarkan kenyataan pada 30 Disember 2016 bertajuk, "Memang wujud pakatan sulit antara Tun Mahathir dan Kit Siang - Tunku Aziz."

Mukhriz dalam pernyataan tuntutan berkata, selepas mengeluarkan notis kepada Tunku Abdul Aziz bagi membuktikan dakwaannya, defendan sekali lagi sebagai balasan menerbitkan kenyataan pada 3 Januari tahun lalu bertajuk, 'Tunku Abdul Aziz gesa Mukhriz, Kit Siang buat pengakuan bersumpah.'

Sementara itu, Tunku Abdul Aziz dalam pernyataan saksi beliau, berkata Mukhriz tidak seharusnya terlalu sensitif kepada analisis atau pendapat mengenai perkembangan politik membabitkan dirinya.

Defendan berkata, ini adalah kerana rakyat berhak memberi komen dan kupasan mengenai perjalanan politik seorang pemimpin politik.

Jelas defendan lagi, jika dibaca secara menyeluruh, isu yang timbul dalam kenyataan itu mengenai perancangan Kit Siang yang berhasrat menduduki jawatan Timbalan Perdana Menteri yang cuba disembunyikan daripada pengetahuan masyarakat umum dan juga daripada pakatan pembangkang.

"Isu tentang Mukhriz sebagai Perdana Menteri tidak pernah timbul dan tidak menjadi 'subject matter' di dalam kenyataan ini. "Walaupun nama plaintif ada disebut dalam kenyataan media pertama, namun maksud kenyataan itu apabila dibaca secara keseluruhan dan di dalam konteks, ia langsung tidak berkaitan dan tidak merujuk serta tidak relevan kepada plaintif," katanya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Nordin Hassan bersambung Khamis ini.

Berita Harian X