Selasa, 13 Februari 2018 | 1:50pm
KETUA Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Taib. - Foto L Manimaran
KETUA Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Taib. - Foto L Manimaran

Bapa dipercayai sebabkan kematian bayi didakwa esok

TAIPING: Lelaki yang dipercayai mendera sehingga menyebabkan kematian bayi perempuannya berusia enam bulan pada 5 Februari lalu, dijangka didakwa di Mahkamah Majistret di sini, esok.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Taib, berkata polis sudah melengkapkan siasatan dengan mengambil kira pelbagai aspek berhubung kes itu.

"Lelaki berusia 21 tahun itu yang juga pekerja di sebuah kantin kilang akan didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

"Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara hingga 10 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan," katanya.

Beliau berkata demikian pada program Op Selamat yang diadakan di Jalan Simpang, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Mohamad mengesahkan bayi berkenaan dihantar ke Hospital Taiping pada jam 6.30 petang 2 Februari lalu, selepas dikatakan pengsan akibat terjatuh buaian di rumahnya di Kampung Paya Baru, Tekah, di sini, oleh ibu bapa bayi terbabit yang berusia 21 dan 19 tahun.

Bagaimanapun mangsa meninggal dunia ketika dirawat di wad penjagaan intensif bayi (NICU) hospital itu pada jam 7.30 pagi 5 Februari, dan bedah siasat mendapati punca kematiannya disebabkan kecederaan kepala akibat trauma tumpul.

Berikutan itu, polis menahan reman bapanya untuk siasatan lanjut dua hari kemudian selepas suspek gagal menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping bagi membantu siasatan kes kematian bayinya itu.

Sementara itu, Mohamad berkata, polis meningkatkan rondaan dalam kawasan seliaan IPD Taiping bagi memastikan keselamatan harta benda dan rumah sentiasa terjamin sepanjang musim perayaan Tahun Baharu Cina.

"Kita akan melakukan rondaan terutama pada waktu malam di kawasan kediaman yang memaklumkan kepada polis kepulangan mereka ke kampung.

"Polis menyediakan pelbagai kemudahan kepada penduduk untuk memaklumkan ketiadaan mereka di rumah masing-masing bagi memudahkan rondaan dijalankan, antaranya menyebarkan borang pulang ke kampung, khidmat pesanan ringkas (SMS) dan hotline Rakan Cop," katanya.

Berita Harian X