Ahad, 11 Februari 2018 | 8:43pm
 DUA lelaki bersenjatakan pistol merompak sebuah pasar raya di sini dan melarikan wang tunai RM4,000 pagi tadi.
DUA lelaki bersenjatakan pistol merompak sebuah pasar raya di sini dan melarikan wang tunai RM4,000 pagi tadi.

Penyamun larikan RM4,000 dari pasar raya

SUNGAI BULOH: Dua penjenayah bersenjatakan sepucuk pistol, merompak sebuah pasar raya di Sierramas di sini, sebelum melarikan wang tunai kira-kira RM4,000, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.25 pagi itu, suspek yang menunggang sebuah motosikal dan memakai topi keledar bertutup muka penuh, meluru masuk ke kaunter bayaran sebelum melarikan dua laci mesin kira-kira berisi wang hasil jualan.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan S Somu, berkata seorang daripada suspek turut melepaskan dua das tembakan, sedas ke arah kamera litar tertutup (CCTV) di bahagian luar pasar raya dan sedas lagi ke arah siling dalam premis berkenaan.

"Selain melarikan dua laci mesin wang mengandungi wang tunai kira-kira RM4,000, suspek turut melarikan dompet milik seorang pelanggan wanita yang kebetulan sedang membuat pembayaran di kaunter pasar raya itu.

"Ketika kejadian, ada tiga juruwang dan seorang pengawal keselamatan serta seorang pelanggan di tempat kejadian," katanya.

Somu berkata, pemeriksaan pasukan forensik menemui dua kelongsong dan dua anak peluru di tempat kejadian.

"Semakan mendapati nombor pendaftaran motosikal jenis Yamaha LC digunakan suspek dipercayai nombor palsu.

"Gerakan memburu suspek sedang dilakukan dan kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

Berita Harian X