Ahad, 11 Februari 2018 | 5:47pm

Pasangan menongkah arus terbaring atas jalan

SHAH ALAM: Akibat panik melihat sekatan jalan raya, seorang mat rempit dan kekasihnya nyaris kehilangan nyawa selepas terbabit kemalangan ketika cuba menongkah arus bagi mengelak ditahan pihak berkuasa di Persiaran Perbandaran di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, pasangan berusia 20 tahun yang menunggang motosikal Yamaha LC itu berpatah balik selepas beberapa anggota polis cuba menahan mereka ketika operasi di sekitar kawasan berkenaan.

Namun, tidak sampai 100 meter selepas melawan arus, terdengar dentuman kuat dan pasangan itu terbaring di atas jalan raya akibat terbabas dan melanggar tembok pembahagi jalan.

Nasib menyebelahi mereka apabila kedua-duanya hanya cedera di kepala, tangan dan kaki.

Pemeriksaan lanjut polis mendapati lelaki terbabit mempunyai lesen dan cukai jalan motosikal yang sah.

Apabila ditanya mengapa melarikan diri, dia memaklumkan panik melihat beberapa mat rempit berpatah balik bagi mengelak ditahan dan menyebabkan dirinya turut melakukan perkara sama.

"Pada waktu itu, saya tidak memikirkan apa-apa kecuali rasa takut dan terus menunggang dengan laju.

"Ketika jatuh, saya memang menyesal dan mujur usia masih panjang," katanya ketika ditemui pemberita yang turut menyertai operasi itu.

Lelaki itu bagaimanapun dikenakan saman kerana kesalahan tiada cermin sisi dan ekzos tidak menepati standard ditetapkan.

Operasi itu disertai seramai 15 anggota trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, 25 sukarelawan polis dan 16 anggota penguat kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, dalam operasi selama dua jam itu, sebanyak 60 saman dikeluarkan terutama kepada penunggang motosikal atas pelbagai kesalahan.

"Pecahan saman antaranya membabitkan 17 kesalahan nombor plat tidak mengikut spesifikasi, tiada lesen (16), ekzos (6) dan lima tiada cermin sisi serta lesen tamat tempoh.

"Sebanyak 16 motosikal turut disita untuk tindakan lanjut," katanya.

SEBANYAK 16 buah motosikal dibawa ke IPD Shah Alam selepas ditahan dalam Op Samseng Jalanan di hadapan bangunan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA). - Foto Muhammad Sulaiman
SEBANYAK 16 buah motosikal dibawa ke IPD Shah Alam selepas ditahan dalam Op Samseng Jalanan di hadapan bangunan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA). - Foto Muhammad Sulaiman
Berita Harian X