Selasa, 6 Februari 2018 | 3:40pm

Bakal pengantin dipenjara

PETALING JAYA: Seorang lelaki yang bakal berkahwin dua bulan lagi dijatuhi hukuman penjara lima hari dan denda RM1,300 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, kerana kesalahan mencuri.

Majistret Nurshahirah Abd Salim menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Ahmad Tajudin Jamil, 24, selepas dia mengaku bersalah sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah.

Sebelum menjatuhkan hukuman, Nurshahirah menasihati tertuduh yang akan berkahwin pada bulan depan supaya insaf dan tidak mengulangi kesalahan sama pada masa akan depan.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa mencuri harta termasuk lampu suluh dan telefon bimbit milik Chilindo.com pada jam 12.05 pagi, 3 Februari lalu.

Lelaki yang bekerja sebagai pembantu gudang di syarikat itu didakwa mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan kerana melakukan kesalahan berkenaan di Chilindo.com, Lot 10, Jalan Teknologi, Kota Damansara, di sini, dan sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum tujuh tahun dan denda.

Mahkamah mengarahkan tertuduh menjalani hukuman penjara itu bermula esok dan penjara sebulan lagi, jika denda gagal dibayar.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Abu Arsalnaa Zainal Abidin memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal supaya menjadi pengajaran terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam itu merayu hukuman ringan atas alasan dia anak lelaki tunggal, selain menjadi penanggung utama keluarga.

Berita Harian X