Isnin, 5 Februari 2018 | 3:44pm
KEADAAN mangsa yang cedera di kepala akibat dirempuh mat rempit yang cuba melarikan diri daripada sekatan jalan raya di Jonker Walk, Jalan Kubu, Melaka, malam tadi. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber
KEADAAN mangsa yang cedera di kepala akibat dirempuh mat rempit yang cuba melarikan diri daripada sekatan jalan raya di Jonker Walk, Jalan Kubu, Melaka, malam tadi. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber
KEADAAN penunggang motosikal yang mengalami luka di dahi kiri selepas tercampak ke dalam longkang di bahu jalan. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber
KEADAAN penunggang motosikal yang mengalami luka di dahi kiri selepas tercampak ke dalam longkang di bahu jalan. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

Melambung dirempuh mat rempit

MELAKA: Seorang lelaki cedera di kepala akibat dirempuh mat rempit yang cuba melarikan diri daripada sekatan jalan raya di Jonker Walk, Jalan Kubu, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam di hadapan pintu gerbang Jonker Walk itu, mat rempit berusia 19 tahun dikatakan panik apabila menyedari dikepung polis dan cuba berpatah balik melawan arus tanpa mempedulikan arahan berhenti.

Tindakan itu menyebabkan mangsa berusia 29 tahun yang melintas jalan untuk membeli aiskrim dirempuh Honda EX5 manakala mat rempit itu pula tercampak ke dalam longkang di bahu jalan dan mengalami luka di dahi kiri.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, Op Pencegahan Samseng Jalanan selama lebih tujuh jam berakhir jam 2.30 pagi itu dijalankan di dua lokasi iaitu di Jalan Kubu dan Jalan Tan Chen Yan di sini.

Katanya, dalam operasi itu sebanyak 156 saman atas pelbagai kesalahan dikeluarkan, manakala 11 penunggang motosikal ditahan.

"Daripada jumlah itu, lapan membabitkan waran tangkap, manakala dua lagi ditahan atas kesalahan penyalahgunaan dadah mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Dengan tertangkap suspek, polis percaya dapat menyelesaikan 20 kes membabitkan waran tangkap. Remaja yang merempuh pejalan kaki itu pula ditahan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya ketika dihubungi hari ini.

Afzanizar berkata, jumlah kesalahan terbanyak direkodkan ialah membabitkan tiada lesen memandu dan nombor pendaftaran 'fancy' masing-masing sebanyak 29 saman.

"Selain itu, polis turut menyita dua motosikal. Pejalan kaki yang cedera itu dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut," katanya.

Berita Harian X