Isnin, 5 Februari 2018 | 3:20pm

Didakwa cabul kehormatan dalam LRT

KUALA LUMPUR: Seorang pekerja sebuah syarikat percetakan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan mencabul seorang wanita di dalam sistem transit aliran ringan (LRT), minggu lalu.

Mohd Azhar Md Isa, 46, mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Maizatul Munirah Abd Rahman.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menggunakan kekerasan jenayah kepada mangsa iaitu seorang eksekutif syarikat berusia 29 tahun dengan cara menyandar di bahagian belakang badan mangsa dengan maksud hendak mencabul kehormatannya.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di dalam LRT antara stesen KL Sentral berhampiran stesen Dang Wangi di sini, pada jam 7 malam, 26 Januari lalu.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noorelynna Hanim Abd Halim manakala tertuduh diwakili peguam A Krishnaveni.

Terdahulu, Noorelynna menawarkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin kepada tertuduh tetapi Krishnaveni memohon mahkamah memberikan jaminan yang rendah atas alasan anak guamnya menanggung keluarga.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 1 Mac ini untuk sebutan semula kes.

Berita Harian X