Isnin, 29 Januari 2018 | 1:43pm

Peniaga dituduh miliki senjata api tiruan, tanpa lesen

 

IPOH: Seorang peniaga dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan iaitu memiliki senjata api tanpa lesen dan senjata api tiruan serta gagal mempamerkan kad pengenalan bulan lalu. 

Liew Soon Aun, 47, dituduh melakukan kesalahan itu di Kafe Andy and Queen, Jalan Bercham Trade Parade, Desa Kenchana di sini, pada jam 7.30 malam 23 Januari lalu.

Bagi pertuduhan pertama, dia dituduh memiliki senjata api tanpa lesen dibenarkan dan didakwa mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960 dan sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya. 

Bagi pertuduhan kedua, Soon Aun dituduh mengimport dan memiliki senjata api tiruan dan didakwa mengikut Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960 yang boleh dihukum penjara maksimum satu tahun atau didenda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. 

Pendakwaan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Irna Julieza Maaras dilakukan di hadapan Majistret Siti Salwa Jaafar, manakala tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), E P Seeralasittan.

Tertuduh mengaku faham pertuduhan dikemukakan terhadapnya dalam bahasa Mandarin oleh jurubahasa mahkamah dan mengaku salah atas tuduhan berkenaan. 

Bagi tuduhan ketiga, Soon Aun pada masa dan lokasi sama didakwa gagal mempamerkan kad pengenalan apabila diminta pegawai kanan polis ketika pemeriksaan dilakukan dan dituduh mengikut Seksyen 25(1)(n) Peraturan Peraturan Pendaftaran Negara 1990, sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum tiga tahun atau didenda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya.

Siti Salwa kemudian menetapkan 19 Februari ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi membolehkan serahan dokumen dan lantikan peguam dibuat serta memerintahkan tertuduh diikat jamin RM10,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan.

BH sebelum ini melaporkan, polis menahan seorang lelaki warga tempatan kerana memiliki sepucuk pistol tiruan, gari dan dokumen pengenalan diri penguat kuasa Singapura di sebuah kafe di Jalan Bercham, Ipoh, pada 23 Januari lalu. 

Dalam kejadian jam 7.30 malam itu, suspek berusia 47 tahun didapati menyelitkan pistol tiruan dan gari berkenaan di tali pinggangnya, selain memiliki dokumen sebuah agensi penguat kuasa di negara jiran.

Seorang peniaga Liew Soon Aun, 47, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh atas tiga pertuduhan iaitu memiliki senjata api tanpa lesen dan senjata api tiruan serta gagal mempamerkan kad pengenalan bulan lalu. - FotoL. Manimaran
Seorang peniaga Liew Soon Aun, 47, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh atas tiga pertuduhan iaitu memiliki senjata api tanpa lesen dan senjata api tiruan serta gagal mempamerkan kad pengenalan bulan lalu. - FotoL. Manimaran
Berita Harian X