Khamis, 25 Januari 2018 | 5:03pm
RAKAMAN CCTV seorang peniaga menampar pekerja sebuah pasar raya disebabkan tidak berpuas hati ayam dipesannya tidak diterima, minggu lalu. - Foto Adzlan Sidek
RAKAMAN CCTV seorang peniaga menampar pekerja sebuah pasar raya disebabkan tidak berpuas hati ayam dipesannya tidak diterima, minggu lalu. - Foto Adzlan Sidek

Didenda RM1,800 gara-gara tampar pekerja pasar raya

SEREMBAN: Seorang peniaga didenda RM1,800 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, kerana menampar pekerja sebuah pasar raya disebabkan tidak berpuas hati ayam dipesannya tidak diterima, minggu lalu.

Abdul Aziz Othman, 38, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Mohd Zaki Abd Rahman.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap seorang remaja 17 tahun di bahagian penyimpanan barang di sebuah pasar raya di sini, jam 11 malam, pada 14 Januari lalu.

Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Soo Kok Weng, manakala tertuduh diwakili peguam Iwana Sakinah Mohd Lajis.

Terdahulu, Iwana Sakinah memohon supaya tertuduh dikenakan hukuman ringan kerana hanya berniaga secara kecilan dan menyesal dengan kesalahan yang dilakukan.

Bagaimanapun Kok Weng memohon supaya hukuman setimpal diberikan berikutan kesalahan yang dilakukan bersifat menganiaya dan memalukan mangsa di khalayak ramai.

Mahkamah kemudian menetapkan denda RM1,800. Mengikut fakta kes, tertuduh didakwa memarahi mangsa kerana dia tidak menerima ayam yang dipesannya sebelum dia menarik rambut dan menampar pipi kiri remaja itu.

Berita Harian X