Selasa, 23 Januari 2018 | 8:10pm

Ugut isteri dipenjara 5 hari, denda RM5,000

PETALING JAYA: Seorang pekerja kilang dihukum penjara lima hari dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari, selepas mengaku bersalah mengugut isterinya menggunakan sebatang besi kuku kambing.

Majistret Nurulhuda Zakariya menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Fauzi Ismail, 36, dan memerintahkannya menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 18 Januari lalu.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani tambahan hukuman penjara lima bulan, sekiranya gagal membayar denda.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Mohd Fauzi didakwa melakukan ugutan jenayah terhadap isterinya, berusia 36 tahun, dengan niat mendatangkan kegentaran dan mengeluarkan kata ugutan; "Matilah korang semua aku kerjakan", sambil memegang besi kuku kambing.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Lorong Aman 1, Kg. Seri Aman Dalam, Bukit Puchong, di sini, pada 8.30 malam, 17 Januari lalu dan didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, Mohd Fauzi yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon dikenakan hukuman ringan dengan alasan tidak mampu membayar denda tinggi dan penanggung utama keluarga.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Natasha Chin Le Jy, membantah rayuan itu dan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal berbentuk pencegahan sebagai pengajaran terhadap tertuduh.

"Mangsa dalam kes ini adalah isteri tertuduh sendiri dan fakta kes jelas menyatakan dia mengugut mangsa," katanya.

Berita Harian X