Isnin, 15 Januari 2018 | 1:28pm

'Perbuatan kamu jijik'

ALOR SETAR: Seorang buruh kontrak yang tergamak merogol anak tirinya September tahun lalu dikenakan hukuman penjara 15 tahun dan empat sebatan di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini.

Hakim Najwa Che Mat menjatuhkan hukuman itu terhadap Mat Zahir Shariff, 43, selepas tertuduh mengaku bersalah ketika pertuduhan dibacakan kepadanya.

"Perbuatan kamu adalah jijik, kamu memilih untuk melakukan perkara itu kepada anak tiri kamu sedangkan kamu sudah berkahwin dengan ibu mangsa," katanya sebelum menjatuhkan hukuman.

Mengikut pertuduhan, bapa kepada tiga anak itu didakwa merogol anak tirinya yang berusia 14 tahun di sebuah rumah di Kampung Bukit Belah, Mukim Lada, Pokok Sena, pada jam 11 malam, penghujung September lalu.

Kejadian itu terbongkar selepas mangsa memaklumkan perkara itu kepada ibu saudaranya.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376B (1) Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Rehab Abdul Shukur memohon mahkamah memberi hukuman berat terhadap tertuduh berikutan kesalahan itu serius dari sudut perundangan dan agama.

"Malah, mangsa turut trauma dengan kejadian itu dan mempunyai masalah berhadapan dengan masyarakat berikutan tekanan perasaan," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X