Ahad, 14 Januari 2018 | 6:14pm
SUSPEK dibawa ke lokasi semalam bagi memandu arah pihak polis ke tempat dia menanam bom tangan berkenaan. - Foto ihsan pembaca
SUSPEK dibawa ke lokasi semalam bagi memandu arah pihak polis ke tempat dia menanam bom tangan berkenaan. - Foto ihsan pembaca
PASUKAN Unit Pemusnah Bom (UPB) dan Unit Anjing Pengesan (K9) melakukan pemeriksaan sebelum menjumpai bom tangan yang ditanam suspek di tepi sebuah blok kondominium terbabit, semalam. - Foto ihsan pembaca

Lelaki tanam bom tangan direman 5 hari

KUALA LUMPUR: Lelaki yang ditahan polis kerana menanam bom tangan di tepi longkang berhampiran tangga sebuah kondominium di Jalan Kuchai Maju 13, direman selama lima hari bermula hari ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mazlan Lazim, berkata perintah reman hingga 18 Januari itu diperoleh bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan ke atas suspek berusia lingkungan 40-an.

"Suspek bekerja di pusat karaoke di Kuchai Lama.

"Reman diperoleh selama lima hari hingga 18 Januari ini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Suspek ditahan polis di hadapan pusat hiburan di Kuchai Lama, semalam kerana berkelakuan mencurigakan selain disyaki menagih dadah.

Ketika disoal siasat, lelaki itu bukan saja mengaku terbabit penyalahgunaan dadah tetapi juga turut mengaku mempunyai bom tangan yang disorok dengan cara ditanam berhampiran kondominium berkenaan.

Suspek mendakwa bom tangan terbabit diperolehnya daripada seorang rakan warga Thailand sejak dua tahun lalu dan bertindak menanamnya kerana takut ditahan pihak berkuasa.

Bagaimanapun, siasatan polis mendapati tiada unsur 'terrorism' (keganasan) dalam kejadian terbabit mahupun unsur suspek ingin meletupkan atau mencederakan sesiapa.

Berita Harian X