Khamis, 11 Januari 2018 | 11:23am
SEORANG lelaki warga Pakistan, Zeb Gulab, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu atas pertuduhan cuba merasuah seorang anggota polis sebanyak Rm200,00. - Foto Mohd Syafiq Ridzuan Ambak
SEORANG lelaki warga Pakistan, Zeb Gulab, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu atas pertuduhan cuba merasuah seorang anggota polis sebanyak Rm200,00. - Foto Mohd Syafiq Ridzuan Ambak

Warga Pakistan didakwa rasuah polis

KUALA TERENGGANU: Seorang lelaki warga Pakistan didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas pertuduhan memberi rasuah kepada seorang anggota polis untuk dilepaskan kerana tidak memiliki lesen memandu, Isnin lalu.

Mengikut kertas pertuduhan, Zeb Gulab, 24, yang bekerja di sebuah ladang, didakwa cuba merasuah Lans Koperal Sebri Shukri sebanyak RM200, pada jam 8.30 malam, Isnin lalu di Kemaman.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu bagi mengelak dikenakan tindakan terhadapnya yang melakukan kesalahan mengikut Seksyen 58 (2) Akta Pengangkutan Jalan 1987, iaitu gagal mengemukakan dokumen lesen memandu.

Dengan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa SPRM, Mohd Hanafi Abd Rahim, di hadapan Hakim Mohd Haldar Abdul Aziz.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan berikutan tertuduh tidak memahami pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.

Mohd Haldar kemudian menetapkan 31 Januari ini untuk sebutan semula kes bagi menyediakan khidmat jurubahasa dan tiada jaminan ditawarkan kepada tertuduh.

Berita Harian X