Rabu, 10 Januari 2018 | 10:07pm
DADAH yang dirampas polis daripada pasangan kekasih di FELCRA Changkat Lada, Kampung Gajah, Perak. Foto Ihsan PDRM.
DADAH yang dirampas polis daripada pasangan kekasih di FELCRA Changkat Lada, Kampung Gajah, Perak. Foto Ihsan PDRM.
DADAH yang dirampas polis daripada pasangan kekasih di FELCRA Changkat Lada, Kampung Gajah, Perak. Foto Ihsan PDRM.
DADAH yang dirampas polis daripada pasangan kekasih di FELCRA Changkat Lada, Kampung Gajah, Perak. Foto Ihsan PDRM.

Pasangan kekasih, pelajar IPT ditahan kes dadah

BOTA: Pasangan kekasih yang juga pengedar dadah ditahan polis dalam sebuah kereta di tepi jalan di FELCRA Changkat Lada, Kampung Gajah, dekat sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal Abdullah, berkata ketika ditahan jam 3.30 petang, suspek lelaki berusia 35 tahun duduk di tempat duduk pemandu, manakala teman wanitanya yang duduk di kerusi penumpang sebelahnya berada dalam keadaan mencurigakan dan dipercayai sedang menyalahgunakan dadah.

"Pemeriksaan pada beg silang yang dipakai suspek lelaki menemui sepaket plastik lutsinar dipercayai mengandungi heroin seberat 229 gram dan dua paket plastik lutsinar disyaki methamphetamine seberat kira-kira 27 gram.

"Hasil pemeriksaan lanjut ke atas wanita berusia 25 tahun itu pula menemui tiga paket plastik lutsinar dan satu tiub straw dipercayai mengandungi heroin seberat 6.03 gram di dalam beg tangannya.

"Turut ditemui sebotol kaca yang diubahsuai yang dipegang suspek lelaki," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohamad Zainal berkata, pasangan kekasih yang kedua-duanya tidak berkerja itu dipercayai mengedar dadah sejak tujuh bulan lalu di sekitar Kampung Gajah dan Jejawi.

Beliau berkata, ujian saringan air kencing turut mendapati pasangan itu positif dadah selain mempunyai rekod lampau.

Katanya, mereka disiasat mengikut Seksyen 39B, Seksyen 39A(2), Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Mohamad Zainal berkata, pihaknya turut menahan seorang pelajar sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di Seri Iskandar berusia 21 tahun yang diserahkan wardennya ke Balai Polis Seri Iskandar pada jam 12.50 tengah malam, semalam.

"Polis membuat tangkapan semula ke atas lelaki itu dan turut merampas sepaket plastik lutsinar disyaki mengandungi ganja seberat 3.77 gram.

"Ujian saringan air kencing turut mendapati pelajar itu positif dadah namun tidak mempunyai rekod lampau.

"Kes akan disiasat mengikut Seksyen 6 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama," katanya.

Berita Harian X