Rabu, 10 Januari 2018 | 5:02pm

Didenda RM3,500 kerana mengugut, khianat

KUALA LUMPUR: Seorang pemandu lori sampah didenda RM3,500 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana mengugut untuk membakar rumah seorang wanita dan merosakkan motosikalnya, Sabtu lalu.

Tertuduh, A Kalaivanan, 40, didenda selepas mengaku bersalah atas tuduhan mengugut S Rekha, 33, sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Maizatul Abd Rahman.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa mengugut sehingga menimbulkan ketakutan terhadap mangsa dengan mengeluarkan perkataan mahu membakar rumah mangsa di Blok 22A Jalan Chempedak, Off Jalan Perhentian, Sentul di sini, jam 10.45 malam, 6 Januari lalu.

Bapa lima anak itu itu didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Dia turut mengaku bersalah melakukan khianat dengan memecahkan dan merosakkan komponen motor mangsa sehingga menyebabkan kerugian sebanyak RM1,500 di tempat dan pada masa yang sama.

Pertuduhan dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya Noorelynna Hanim Abd Halim mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Terdahulu Majistret Maizatul menjatuhkan hukuman denda RM1,500 atau penjara satu bulan bagi pertuduhan pertama, manakala pertuduhan kedua tertuduh didenda RM2,000 atau penjara dua bulan.

Kalaivanan tidak diwakili peguam memohon supaya dikenakan denda minimum dengan alasan dia penanggung utama keluarga dan mempunyai lima orang anak.

"Saya kesal dengan perbuatan itu dan berjanji tidak mengulangi perbuatan ini. Ketika kejadian saya beremosi," katanya.

Bagaimanapun, Noorelynna memohon hukuman berbentuk pengajaran dikenakan terhadap tertuduh.

Berita Harian X