Isnin, 8 Januari 2018 | 3:47pm

Juruteknik curi 3 cermin mata

KUALA LUMPUR: Seorang juruteknik dihukum penjara empat hari dan denda RM1,200 oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, kerana mencuri tiga unit cermin mata berjenama, awal bulan ini.

Majistret Maizatul Munirah Abd Rahman menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Hydir Ismail, 24, selepas tertuduh mengaku bersalah.

Maizatul Munirah turut mengarahkan hukuman penjara itu bermula tarikh dia ditangkap pada 5 Januari lalu. Tertuduh juga berdepan hukuman penjara empat hari jika gagal membayar denda itu. 

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa mencuri tiga buah cermin mata milik OWL Eyewear, yang semuanya bernilai RM897 di sebuah pusat beli-belah di Jalan Putra, di sini, pada jam 9.30 malam, 1 Januari lalu.  

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda; dan bagi kesalahan kedua dan seterusnya hendaklah dihukum penjara dengan denda atau sebatan jika sabit kesalahan.

Terdahulu, peguam P Suthes, yang mewakili tertuduh memohon anak guamnya diberikan hukuman ringan atas alasan tertuduh adalah penanggung tunggal keluarga. 

Timbalan Pendakwa Raya Noorelynna Hanim Abd Halim bagaimanapun memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal berbentuk pengajaran terhadap tertuduh.

Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian, tertuduh telah menghantar cermin mata miliknya untuk dibaiki di kedai itu.

Sementara menunggu cermin matanya dibaiki, tertuduh mengambil tiga cermin mata yang diletakkan di meja pameran dan memasukkannya ke dalam poket baju sejuk yang dipakainya.

Selepas kaca mata miliknya siap dibaiki, tertuduh membayar RM2 lalu beredar keluar dari kedai tanpa membuat sebarang pembayaran untuk tiga cermin mata yang telah diambil.

Perbuatan tertuduh itu disedari seorang pekerja kedai itu yang kemudian melaporkannya kepada pihak berkuasa.

Berita Harian X