Isnin, 8 Januari 2018 | 2:38pm
ROSLLI parah akibat ditikam di perut dan meninggal dunia ketika dirawat di hospital. Gambar kecil, pisau yang dipercayai digunakan suspek. - Foto ihsan pembaca
ROSLLI parah akibat ditikam di perut dan meninggal dunia ketika dirawat di hospital. Gambar kecil, pisau yang dipercayai digunakan suspek. - Foto ihsan pembaca

Maut ditikam jiran

SLIM RIVER: Seorang lelaki maut ditikam dalam pergaduhan dengan jirannya di Taman Slim Permai di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 2.30 pagi itu, Roslli Zulkharnain Kamaruddin, 30, parah akibat ditikam di perut dan meninggal dunia ketika dirawat di hospital.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Wan Kamarul Azran Wan Yusof, berkata siasatan awal mendapati mangsa ditikam susulan pertelingkahan antara suspek.

"Dalam kejadian itu suspek yang berusia 47 tahun turut parah pada bahagian belakang kepala dan tidak sedarkan diri akibat dihentak di atas jalan raya. Mangsa pula cedera di perut akibat ditikam dengan pisau.

"Kedua-dua mereka (mangsa dan suspek) dihantar ke Hospital Slim River menggunakan ambulans Angkatan Pertahanan Awam (APM) bagi mendapatkan rawatan," katanya di sini, hari ini.

Wan Kamarul Azran berkata, mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital.

Katanya, selain suspek dua lagi anggota keluarga mangsa, masing-masing seorang lelaki dan wanita berusia 38 dan 35 tahun, turut ditahan bagi membantu siasatan.

"Polis turut merampas sebilah pisau dan dua unit telefon bimbit yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu untuk siasatan lanjut," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Berita Harian X