Sabtu, 6 Januari 2018 | 6:21pm
BERANG selepas cubaan mengeluarkan wang tunai daripada mesin juruwang automatik (ATM) gagal, seorang lelaki bertindak memecahkan skrin mesin berkenaan menggunakan tong sampah dalam kejadian di Jalan Pahlawan.Suspek berusia 44, tahun menghentak beberapa kali skrin mesin terbabit sehingga pecah, sekali gus menyebabkan orang awam berdekatan dengannya mula panik. - Foto Harun Yahya

Pecahkan mesin ATM berang tak dapat wang

SIBU: Berang selepas cubaan mengeluarkan wang daripada mesin ATM gagal, seorang lelaki memecahkan skrin mesin berkenaan menggunakan tong sampah di Jalan Pahlawan, di sini.

Dalam kejadian pada jam 11.40 malam tadi, suspek berusia 44 tahun menghentak beberapa kali skrin mesin terbabit sehingga pecah menyebabkan orang awam berdekatan panik.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zailanni Amit, berkata orang awam yang berada di kawasan kejadian segera menghubungi polis dan suspek berjaya ditahan tanpa sebarang pergelutan.

"Seorang anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) yang menahan suspek mendapati dia berada dalam keadaan khayal akibat mabuk dan bau arak juga cukup kuat ketika itu.

"Siasatan awal mendapati suspek adalah peniaga dan memecahkan skrin ATM berkenaan kerana tidak dapat memasukkan kata laluan yang betul. Ia menyebabkan mesin itu membatalkan transaksi yang mahu dilakukan," katanya di sini, hari ini.

Katanya, tiada pengawal keselamatan bertugas ketika kejadian di premis yang menempatkan lapan mesin ATM termasuk sebuah yang juga mesin deposit wang (CDM).

"Suspek direman dan diarah menjalani ujian air kencing. Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana perbuatan khianat," katanya.

Berita Harian X