Khamis, 28 Disember 2017 | 3:04pm

Polis dituduh curi RM200

KUALA KANGSAR: Seorang koperal polis dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan mencuri wang RM200 dari orang awam pada Julai tahun lalu.

Tertuduh, Sa'dat Abdul Manab bagaimanapun mengaku tidak salah dan memohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Azhar Fariz Ahmad Khairuddin.

Dia yang bertugas di Bahagian Unit Peronda Lebuhraya, didakwa mencuri wang RM200 milik Muhammad Alif Sahar, 24, di Kilometer 243.5, Leburaya Utara Selatan arah selatan, berhampiran Kuala Kangsar di sini pada jam 4.40 petang, 13 Julai 2016.

Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan penjara hingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Wahida Jalaluddin dan Pegawai Pendakwa, R Kumuthambal, manakala tertuduh diwakili M Kathan dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Kumuthambal memohon mahkamah menetapkan wang jaminan RM8,000 bersama seorang penjamin terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, Kathan memohon mahkamah mengurangkan jaminan berkenaan.

Mahkamah kemudian memerintahkan wang jaminan RM8,000 serta seorang penjamin dan menetapkan 11 Januari ini bagi sebutan semula kes.

Berita Harian X