Rabu, 20 Disember 2017 | 8:45pm
KETUA Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Mazelan Paijan (kiri) menunjukkan kenderaan yang dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat Daerah (IPD), Klang Utara, Kapar, Klang, petang tadi. - Foto Faiz Anuar
KETUA Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Mazelan Paijan (kiri) menunjukkan kenderaan yang dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat Daerah (IPD), Klang Utara, Kapar, Klang, petang tadi. - Foto Faiz Anuar

Akhirnya 'Itik' dicekup...

KLANG: Seorang lelaki dikenali sebagai 'Itik' yang dipercayai dalang sindiket yang dikesan memecah masuk rumah sebelum mengambil kunci kenderaan dan melarikan kereta milik penghuni di sekitar Lembah Klang dan Johor sejak setahun lalu, berjaya dicekup pada awal pagi semalam.

Terdahulu polis berjaya mengesan kegiatan sindiket berkenaan yang kemudiannya membawa kepada penahanan 'Itik'.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Mazelan Paijan berkata, suspek yang berusia 41 tahun ditahan di Setia Alam dan polis percaya berjaya menyelesaikan tujuh kes curi kenderaan di sekitar Lembah Klang dan Johor.

"Sebelum itu, polis mengekori suspek. Apabila tiba di lokasi, kami cuba menahan suspek dan berlaku sedikit pergelutan ketika cuba menangkapnya. Suspek bertindak agresif dan cuba melarikan diri.

"Bagaimanapun, polis berjaya menahan suspek dan merampas sebuah kereta jenis Toyoto Camry, beberapa peralatan pecah rumah dan dadah jenis heroin (27.3 gram) serta syabu (2.3 gram) dipercayai untuk pasaran tempatan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat Daerah (IPD), Klang Utara, Kapar, di sini, petang tadi.

Mazelan berkata, tangkapan itu membawa kepada rampasan kedua di Bandar Baru Klang membabitkan sebuah Proton Waja, Proton Saga dan sebuah motosikal Honda RS150R pada jam 4 pagi hari sama.

"Kira-kira jam 6 petang hari sama, polis merampas pula sebuah kereta Proton Waja dan sebuah lori jenis Inocom di sebuah kebun kelapa sawit di Tanjong Karang.

"Kesemua nilai rampasan mengikut harga semasa kenderaan adalah RM155,000.

"Polis polis percaya tangkapan dan rampasan ini berjaya menyelesaikan tujuh kes di empat daerah iaitu di Nusa Bestari di Johor dan di Puchong, Sabak Bernam dan Klang Utara," katanya.

Beliau berkata, suspek ditahan reman selama lima hari berakhir 23 Disember ini.

"Polis akan menyambung reman ini (jika perlu) sehingga kita mendapat maklumat lain termasuk mencari kenderaan yang belum ditemui dan menangkap dua lagi rakan suspek yang masih bebas.

"Siasatan awal mendapati suspek mempunyai 26 rekod jenayah lampau membabitkan kes dadah, curi kenderaan dan pecah rumah," katanya.

Beliau berkata, ujian air kencing yang dijalankan terhadap suspek juga mendapati dia positif dadah jenis Methamphetamine.

Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana terbabit dengan pecah rumah, Seksyen 379A Kanun Keseksaan atas kesalahan curi kenderaan dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Berita Harian X