Rabu, 20 Disember 2017 | 6:29pm
LOKASI mayat pekerja ladang sawit warga Filipina ditemui dengan lapan kesan tembakan di Ladang Seraya, Kalabakan, Tawau. - Foto Nasrawati Syarifuddin
LOKASI mayat pekerja ladang sawit warga Filipina ditemui dengan lapan kesan tembakan di Ladang Seraya, Kalabakan, Tawau. - Foto Nasrawati Syarifuddin

Pekerja ladang mati ditembak

TAWAU: Seorang pekerja ladang kelapa sawit ditemui mati dengan lapan kesan tembakan di Ladang Seraya, Kalabakan, dekat sini, semalam.

Mayat mangsa warga Filipina dikenali sebagai Almasir Julion, 21, ditemui oleh mandur ladang kira-kira jam 8 pagi tadi sebelum menghubungi polis.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus, berkata sebelum kejadian, mandur itu tiba di ladang berkenaan untuk memberi taklimat rutin kepada pekerja, sebelum menemui mayat mangsa di kaki lima dewan serbaguna di ladang itu.

"Pemeriksaan polis mendapati ada satu kesan luka tembakan di bahagian hadapan dada kiri mangsa, selain tujuh kesan luka peluru yang tembus di belakang badan mangsa.

"Tiada kesan kecederaan lain pada tubuhnya dan polis percaya mangsa ditembak menggunakan senapang patah. Mayat kemudian dihantar ke Hospital Tawau untuk tindakan lanjut," katanya di sini, hari ini.

Fadil berkata, mangsa dipercayai berasal dari Jolo, Filipina dan tinggal bersama dengan saudara di rumah pekerja ladang berkenaan.

Katanya, pada jam 8 malam tadi, mangsa dikatakan keluar ke rumah rakannya untuk makan malam, namun tidak pulang ke rumah hingga mayatnya ditemui.

Beliau berkata, polis masih menjalankan siasatan lanjut termasuk mengenal pasti suspek serta motif kejadian.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Berita Harian X