Isnin, 18 Disember 2017 | 5:28pm

Anggota polis dipenjara 12 tahun, sokong Daesh

KUALA LUMPUR: Seorang lans koperal polis dihukum penjara 12 tahun oleh Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini, atas tiga pertuduhan membabitkan perbuatan pengganas Daesh.

Hakim Datuk Nordin Hassan membuat keputusan itu ke atas Mustaza Abdul Rahman, 30, selepas mendapati tertuduh gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Beliau berkata, tertuduh mendakwa kehilangan dua telefon dan kad sim telefon itu diceroboh dengan menyertai kumpulan pengganas.

Namun, katanya, dakwaan itu gagal dibuktikan dan tiada fakta penting dikemukakan bagi mengesahkan perkara itu.

"Keterangan itu juga tiada sokongan lain, termasuk laporan polis dan tertuduh juga mengesahkan mengenainya, sekali gus tidak membantu pembelaan tertuduh," katanya.

Nordin berkata selain itu, sebagai anggota polis, tertuduh sepatutnya menjaga keharmonian negara, tetapi sebaliknya membabitkan diri dengan perbuatan pengganas.

Terdahulu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara masing-masing 12 tahun bagi pertuduhan pertama dan ketiga, manakala tujuh tahun bagi pertuduhan kedua.

Beliau memerintahkan semua hukuman berjalan serentak bermula dari tarikh tangkapan iaitu pada 29 Jun 2016.

Mustaza sebelum ini mengaku tidak bersalah atas tuduhan dengan pengetahuan memberi sokongan kepada berlakunya perbuatan pengganas yang membabitkan penggunaan bahan letupan.

Perbuatan itu dilakukan dengan niat untuk melanjutkan suatu perjuangan ideologi dan boleh dianggap sebagai diniatkan untuk mengugut orang awam di Malaysia melalui aplikasi Telegram dalam kumpulan perbualan 'amanah' dalam telefon bimbitnya.

Dia didakwa mengikut Seksyen 130J(1)(b) Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau maksimum 30 tahun atau denda dan boleh dirampas mana-mana harta yang telah digunakan atau diniat untuk digunakan untuk melakukan kesalahan itu, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Mustaza didakwa dengan sengaja tidak memberi apa-apa maklumat berkenaan dengan kesalahan berkaitan pengganas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 130M Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara hingga tujuh tahun atau dengan denda, jika sabit kesalahan.

Lelaki itu juga didakwa dengan pengetahuan telah memberi sokongan kepada kumpulan pengganas Daesh dengan cara melakukan sumpah setia (berbai'ah) melalui aplikasi Telegram dalam kumpulan perbualan 'gagak hitam'.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau maksimum 30 tahun atau denda dan boleh dirampas mana-mana harta yang telah digunakan atau diniat untuk digunakan untuk melakukan kesalahan itu, jika sabit kesalahan.

Semua perbuatan itu didakwa dilakukan antara 30 Mac dan 29 Julai 2016, di rumah No G7-1-1, Blok Iksora, Perumahan Polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, Kedah.

Farida Mohammad yang bertindak sebagai peguam Mustaza dalam rayuan memohon supaya anak guamnya dikenakan hukuman rendah atas alasan tertuduh ditahan selama setahun setengah.

Beliau berkata, sepanjang dalam tahanan, tertuduh sudah insaf dan mahu memulakan hidup baharu.

"Ketika dalam tahanan, anak guam saya mengalami tekanan dan pernah mendapatkan rawatan dengan pakar mental," katanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P Kunyalam bagaimanapun memohon hukuman setimpal.

Prosiding perbicaraan bermula April lalu dengan mengemukakan 13 saksi manakala pembelaan memanggil empat saksi, termasuk isteri tertuduh.

Berita Harian X