Ahad, 17 Disember 2017 | 1:31pm
ZURINA (kanan) diiringi polis ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru atas tuduhan memperdaya pelanggan. - Foto Mohd Azren Jamaludin
ZURINA (kanan) diiringi polis ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru atas tuduhan memperdaya pelanggan. - Foto Mohd Azren Jamaludin

Pemilik Zurin Jundi mengaku tidak bersalah

JOHOR BAHRU: Pemilik syarikat perancang perkahwinan, Zurin Jundi, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, atas pertuduhan memperdaya pelanggannya, Mac lalu.

Zurina Ahmad Jundin, 34, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd Azlan Shah Mohd Allias.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menipu Erhana Nur Asyatiqah Saidon, 25, memperdayakan mangsa dengan menawarkan pakej perkahwinan yang murah, menerusi syarikatnya, Zurin Jundi.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di No 3, Jalan Jasa 7, Taman Mutiara Rini, Skudai, dekat sini, pada Mac lalu.

Tertuduh didapati dengan curangnya mendorong mangsa memasukkan wang yang berjumlah RM5,000 ke dalam akaun bank CIMB atas nama tertuduh.

Dia dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebat, selain denda.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwaraya, Muhammad Mohd Nasir, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Zurina memohon Majistret mengurangkan jumlah jaminan berikutan dia dalam proses menjual barang bagi memulangkan semula wang pelanggannya.

Majistret kemudian menetapkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 10 Januari tahun depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Terdahulu, kes wanita terbabit disebut semula di Mahkamah Majistret, hari ini, membabitkan penipuan pelanggan berjumlah RM8,500, yang dituduh pada 20 November lalu.

Pada 19 Oktober lalu, tertuduh juga didakwa di Mahkamah Majistret Klang atas dua pertuduhan menipu pelanggan.

Berita Harian X