Selasa, 12 Disember 2017 | 12:41pm
MUHAMMAD Haris Ismail (kiri) dan adik beliau Nur Ain Harizah bt Ismail, yang terselamat dalam nahas tersebut. - Foto Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
MUHAMMAD Haris Ismail (kiri) dan adik beliau Nur Ain Harizah bt Ismail, yang terselamat dalam nahas tersebut. - Foto Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Abah selalu pesan jaga solat

KUANTAN: "Allah pinjamkan mereka dan Allah "ambil" balik pinjamanNya, sebagai orang yang beriman, aku memang reda tetapi hati dan tangisan tidak boleh ditipu."

Demikian catatan pada status Facebook milik Muhammad Haris, anak kepada Ismail Yaacob, 53, yang meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Taiping, jam 1.40 pagi tadi, selepas terbabit dalam kemalangan di Jalan Kuala Kangsar-Gerik berhampiran Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Lenggong, Gerik, Ahad lalu.

Kemalangan itu menyebabkan tiga adik Muhammad Haris iaitu pasangan kembar, Muhammad Hanif dan Nur Ain Hanifah, 8, serta Nur Ain Hafizah, 22, maut di tempat kejadian.

Dalam catatannya itu, Muhammad Haris berkata, Allah SWT mengambil ambil nyawa empat ahli keluarganya dalam tempoh yang sangat singkat.

"Abah orang yang baik... Abah orang yang paling kuat tekankan kami bab solat... Walaupun aku dah besar panjang, abah tetap tidak jemu-jemu berpesan supaya jangan tinggalkan solat.

"Abah sudah terlepas tanggungjawab... sekarang tinggal aku dan abang yang akan jaga satu-satunya adik yang tinggal dan ibu," katanya melalui status Facebooknya hari ini.

Dia berkata, ayahnya meninggal dunia, pada 1.40 pagi tadi dan dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kuin, di sini, selepas Asar.

"Kemungkinan jenazah sampai di Kuantan selepas Asar hari ini, semoga dipermudahkan segala urusan. Semoga roh abah dan ketiga-tiga adik ditempatkan di kalangan orang-orang yang soleh," katanya.

Dalam kejadian, jam 11 pagi Ahad lalu, kemalangan dikatakan berlaku selepas sebuah treler dari arah Gerik ke Kuala Kangsar dipercayai mempunyai masalah brek melanggar keempat-empat kenderaan yang berhenti di lampu isyarat simpang empat MRSM Lenggong.

Semalam, tiga adik Muhammad Haris dikebumi dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kuin kira-kira jam 12 tengah hari selepas dibawa dari Hospital Gerik.

Berita Harian X