Jumaat, 8 Disember 2017 | 6:03pm
POLIS menjalankan siasatan di pembahagian jalan lokasi kejadian langgar lari seorang pejalan kaki di Jalan Lintas, dekat Iramanis, Kota Kinabalu. - Foto Ihsan IPD Kota Kinabalu
POLIS menjalankan siasatan di pembahagian jalan lokasi kejadian langgar lari seorang pejalan kaki di Jalan Lintas, dekat Iramanis, Kota Kinabalu. - Foto Ihsan IPD Kota Kinabalu
PEGAWAI perubatan dari QEH memeriksa keadaan pejalan kaki yang dirempuh pacuan empat roda di Jalan Lintas, dekat Iramanis, Kota Kinabalu. - Foto Ihsan IPD Kota Kinabalu
PEGAWAI perubatan dari QEH memeriksa keadaan pejalan kaki yang dirempuh pacuan empat roda di Jalan Lintas, dekat Iramanis, Kota Kinabalu. - Foto Ihsan IPD Kota Kinabalu

Pejalan kaki maut dirempuh di pembahagi jalan

KOTA KINABALU: Seorang wanita maut selepas dilanggar sebuah kenderaan jenis pacuan empat roda ketika cuba menyeberang jalan dalam kejadian langgar lari, di Jalan Lintas, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 6.56 pagi itu, mangsa dikenali sebagai Jenny Lai, 23, berada di pembahagi jalan sebelum dilanggar dan maut di tempat kejadian akibat rempuhan kuat pacuan empat roda terbabit.

Ketua Polis Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra, berkata selepas rempuhan itu, pemandu kenderaan terbabit terus memecut meninggalkan mangsa.

Katanya, siasatan awal mendapati kenderaan pacuan empat roda terbabit menghala ke Tuaran dari arah jejambat Bukit Padang, manakala mangsa berada di pembahagi jalan menunggu untuk melintas ke tempat kerjanya di stesen minyak berhampiran.

RAKAMAN kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan kereta pacuan empat roda berwarna putih yang terbabas dan merempuh pejalan kaki di pembahagi jalan. - Foto Ihsan IPD Kota Kinabalu
RAKAMAN kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan kereta pacuan empat roda berwarna putih yang terbabas dan merempuh pejalan kaki di pembahagi jalan. - Foto Ihsan IPD Kota Kinabalu

"Ketika tiba di lokasi kejadian, pemandu terbabit gagal mengawal kenderaannya lalu terbabas ke pembahagi jalan dan melanggar pejalan kaki yang sedang berdiri di pembahagi jalan berkenaan.

"Selepas kejadian itu, pemandu kereta pacuan empat roda berkenaan terus meninggalkan mangsa yang terbaring berlumuran darah," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Chandra berkata mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan dari Hospital Queen Elizabeth (QEH).

Sementara itu, beliau memohon orang ramai yang menyaksikan kemalangan itu untuk tampil memberikan maklumat di balai polis berhampiran.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian.

Berita Harian X