Jumaat, 8 Disember 2017 | 12:22pm
Ketua Penerangan Puteri UMNO Malaysia, Haryaty Hamdzah (dua kiri) dan Ketua Puteri Umno Bahagian Klang,Haslindawati Bujang (dua kanan) menunjukkan laporan polis berkaitan artikel fitnah ahli UMNO berkhalwat bersempena PAU2017 oleh bekas Ahli Puteri UMNO di IPD Dang Wangi. - Foto Hafiz Sohaimi

Puteri UMNO lapor polis fitnah khalwat

KUALA LUMPUR: Puteri UMNO tampil membuat dua laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini, susulan satu kenyataan berbaur fitnah yang dipercayai dibuat bekas ahli pergerakan sayap itu.

Ketua Penerangan Puteri UMNO, Haryaty Hamdzah, berkata dakwaan yang dibuat itu jelas berbentuk fitnah bertujuan untuk merosakkan imej parti.

"Memang tidak berlaku insiden seperti yang didakwanya, saya sendiri tidak tahu di mana dia dapat idea untuk membuat kenyataan seperti itu.

"Malah, dia hanya pernah sekali sahaja menghadiri perhimpunan, iaitu pada tahun 2015.

"Ia satu kenyataan yang amat melampau, yang memberi persepsi negatif seterusnya menjejaskan kepercayaan rakyat, khususnya keluarga ahli parti yang terbabit dalam perhimpunan," katanya kepada media ketika ditemui di IPD Dang Wangi, hari ini.

Ketua Penerangan Puteri UMNO Malaysia, Haryaty Hamdzah (dua kanan) ketika sidang media laporan polis berkaitan artikel fitnah ahli UMNO berkhalwat bersempena PAU2017 oleh bekas Ahli Puteri UMNO di IPD Dang Wangi. - Foto Hafiz Sohaimi

Haryaty berkata, laporan dibuat supaya tindakan tegas dapat diambil memandangkan ini bukan kali pertama individu berkenaan mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah.

"Kita akan tunggu siasatan pihak polis, jika ada alasan yang kukuh, kita tidak akan teragak-agak untuk membawa perkara ini ke mahkamah," katanya.

Isnin lalu, bekas ahli pergerakan Puteri UMNO itu menerusi satu portal berita mendakwa ramai pasangan berkhalwat dan bersekedudukan dalam satu bilik sepanjang Perhimpunan Agung Umno (PAU) diadakan.

Melalui laporan itu dia juga turut menggesa jabatan agama menjalankan operasi cegah maksiat besar-besaran di hotel sekitar ibu kota.

Katanya, gesaan itu dibuat kerana dia tidak mahu lagi bersubahat selepas 17 tahun melihat perkara berkenaan.

Berita Harian X