Rabu, 6 Disember 2017 | 3:18pm

Sindiket sijil cuti sakit palsu tumpas

MELAKA: Polis Melaka berjaya menumpaskan sindiket pemalsuan sijil cuti sakit menggunakan nama sebuah klinik kesihatan kerajaan susulan penahanan dua suspek lelaki dalam dua serbuan di daerah Melaka Tengah, di sini, malam kelmarin.

Difahamkan, sindiket yang mula aktif sejak Jun lalu dipercayai sudah menjual lebih 300 keping sijil cuti sakit palsu tertera 'Klinik Kesihatan Peringgit' kepada pelanggan termasuk yang berada di luar negeri ini pada harga antara RM10 hingga RM35 sekeping.

Timbalan Ketua Polis Melaka, Datuk Sun Teoh Tia, berkata penahanan suspek pertama berusia 19 tahun yang juga seorang pelajar politeknik di negeri ini dibuat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibupejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di sebuah stesen minyak di Peringgit, di sini, pada jam 9 malam, Isnin lalu.

DATUK Sun Teoh Tia menunjukkan sijil cuti sakit palsu pada sidang media kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil di IPK negeri, Bukit Beruang.- Foto Muhammad Zuhairi Zuber
DATUK Sun Teoh Tia menunjukkan sijil cuti sakit palsu pada sidang media kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil di IPK negeri, Bukit Beruang.- Foto Muhammad Zuhairi Zuber

Beliau berkata, tangkapan ke atas suspek membawa kepada penemuan lima keping kertas sudah dicop rasmi 'Klinik Kesihatan Peringgit' atas nama Rohaiza Roslan MBB (Malaya) bersama nombor pendaftaran penuh serta nombor siri sijil, sebelum turut merampas sebuah motosikal jenis Yamaha Y125R, serangkai kunci, sebuah telefon pintar dan satu dompet.

"Dalam tempoh sejam setengah selepas tangkapan pertama, polis berjaya menahan suspek kedua berusia 21 tahun yang dipercayai bertindak sebagai ketua sindiket di rumahnya di Peringgit Jaya, di sini.

"Hasil pemeriksaan di dalam bilik suspek kedua, polis merampas 10 keping kertas sijil cuti sakit palsu; tujuh keping kertas A4 warna kuning; satu set komputer termasuk monitor dan unit pemprosesan komputer (CPU) jenama Lenovo serta sebuah mesin pencetak.

"Satu cop bulat bertulis 'Klinik Kesihatan Peringgit 75400 Melaka; satu cop tarikh dan cop kayu bertulis 'R. Rohaiza Roslan Mbb (Malaya) Pegawai Perubatan Ud 54," katanya pada sidang media di IPK Melaka, Bukit Beruang, di sini, hari ini.

BARANGAN yang dirampas mengenai kes salinan sijil cuti sakit palsu pada sidang media kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) negeri, Bukit Beruang.- Foto Muhammad Zuhairi Zuber

Yang hadir sama, Pegawai Kesihatan Daerah Melaka Tengah, Dr Rusdi Abd Rahman dan Pegawai Perubatan Unit Kesihatan Peringgit, Dr Rohaiza Roslan.

Mengulas lanjut, Teoh Tia berkata, pihaknya kini memburu beberapa lagi suspek yang masih bebas dan tidak menolak sebanyak lebih 300 keping sijil cuti sakit palsu sudah dijual di pasaran termasuk di luar Melaka sejak Jun lalu dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM10,500.

Katanya, suspek pertama kini direman tiga hari sehingga esok, manakala suspek kedua direman selama empat hari sehingga Jumaat ini.

Beliau meminta kerjasama majikan yang meragui sijil cuti sakit palsu supaya membuat laporan polis dan menasihatkan masyarakat tidak terpedaya tawaran sijil cuti sakit palsu yang boleh dikenakan tindakan undang-undang.

"Kedua-dua suspek disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun, sebat serta denda," katanya.

SIJIL cuti sakit palsu pada sidang media kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) negeri, Bukit Beruang. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber
SIJIL cuti sakit palsu pada sidang media kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) negeri, Bukit Beruang. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber
DATUK Sun Teoh Tia (dua dari kiri) ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) negeri, Bukit Beruang.
DATUK Sun Teoh Tia (dua dari kiri) ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) negeri, Bukit Beruang.
Berita Harian X