Selasa, 28 November 2017 | 12:29pm
MOHD Azhar (kiri) diiringi anggota polis keluar dari Mahkamah Sesyen Kuantan selepas didakwa atas tuduhan merogol dua kanak-kanak perempuan berusia empat dan lapan tahun pada Mei serta Ogos lalu. - Foto Muhd Asyraf Sawal
MOHD Azhar (kiri) diiringi anggota polis keluar dari Mahkamah Sesyen Kuantan selepas didakwa atas tuduhan merogol dua kanak-kanak perempuan berusia empat dan lapan tahun pada Mei serta Ogos lalu. - Foto Muhd Asyraf Sawal

Kelindan lori didakwa rogol kanak-kanak

KUANTAN: Seorang kelindan lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, kerana merogol dua kanak-kanak perempuan berusia empat dan lapan tahun.

Mohd Azhar Sharidan, 25, membuat pengakuan itu dan memohon untuk dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Datuk Unaizah Mohd.

Beliau dituduh merogol seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun di tangki air di Taman Mahkota Aman Batu 11 di sini di antara jam 5 hingga 7 petang pada Mei lalu.

Lelaki itu juga dituduh merogol seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun di ladang kelapa sawit Mahkota Aman Batu 11 di sini di antara jam 5 hingga 7 petang pada Ogos lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 376 (2) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 10 tahun dan maksimum 30 tahun dan disebat.

Pada prosiding itu, pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Shahrul Ekhsan Hasim manakala tertuduh diwakili Mohd Hamizey Mat Taib.

Shahrul Ekhsan memohon mahkamah tidak membenarkan ikat jamin sehingga kes kerana kesalahan dilakukan adalah serius dan dibimbangi akan mengganggu mangsa serta ahli keluarga mereka yang juga jiran kepadanya.

Pihak pembelaan meminta mahkamah membenarkan ikat jamin kerana tertuduh mempunyai masalah lembam atau kesukaran belajar.

Unaizah tidak membenarkan ikat jamin kerana kesalahan dilakukan tertuduh adalah serius dan menetapkan 5 Januari ini untuk sebutan semula.

Mengikut laporan media sebelum ini, tertuduh dikatakan mengumpan dua mangsa dengan coklat dan wang RM2 sebelum memujuk mangsa menaiki motosikal kononnya untuk bersiar-siar di kawasan sekitar kawasan perumahan sebelum merogol mereka.

Berita Harian X