Rabu, 22 November 2017 | 12:50pm

'Haruan' tak mengaku 'makan anak'

AYER KEROH: Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua pertuduhan merogol anak kandungnya, sejak dua tahun lalu.

Lelaki berusia 38 tahun itu membuat pengakuan berkenaan sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Norma Ismail.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol mangsa berusia 16 , di sebuah rumah di sini, kira-kira jam 12 tengah malam, akhir November 2015.

Pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa melakukan kesalahan sama terhadap mangsa sama ketika berusia 18 tahun di lokasi sama, kira-kira jam 12.30 tengah malam, pada 14 November lalu.

Bagi kedua-dua kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376A Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 376B (1) akta sama.

Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Azri Zakaria tidak menawarkan jaminan, manakala tertuduh yang tidak diwakili peguambela merayu dengan memaklumkan mangsa ingin menarik semula laporan polis yang dibuat.

Muhammad Azri bagaimanapun memberitahu tiada laporan polis ditarik balik sehingga kini.

Mahkamah menetapkan 21 Disember ini, tarikh sebutan semula kes.

Berita Harian X