Selasa, 21 November 2017 | 5:20pm
 KETUA Polis Daerah Klang Selatan, ACP Shamsul Amar Ramli (dua dari kiri) menunjukkan gambar daripada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan barangan yang diperolehi daripada suspek kes samun kedai speedmart pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang, Selatan. - Foto Muhammad Sulaiman
KETUA Polis Daerah Klang Selatan, ACP Shamsul Amar Ramli (dua dari kiri) menunjukkan gambar daripada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan barangan yang diperolehi daripada suspek kes samun kedai speedmart pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang, Selatan. - Foto Muhammad Sulaiman

Kumpulan samun kedai serbaneka ditahan

KLANG: Sekumpulan tiga lelaki termasuk pasangan beradik yang disyaki terbabit kegiatan samun kedai serbaneka 24 jam di sekitar daerah diberkas polis minggu lalu hingga semalam.

Suspek yang berusia antara 20 hingga 25 tahun itu difahamkan turut menggunakan kayu bola lisut untuk menggertak pekerja premis sebelum bertindak melarikan barangan terutama rokok di kaunter.

Bagaimanapun, kegiatan mereka berjaya dikesan polis selepas perbuatan itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV) premis yang dirompak seterusnya membawa kepada penahanan mereka dalam tiga serbuan di sekitar Pandamaran dan Pendamar Indah di sini, Jumaat minggu lalu hingga semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, penahanan hasil operasi khas 'Ops 73 Alif' oleh Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, hasil maklumat kes samun membabitkan sebuah kedai serbaneka di Bandar Bukit Tinggi, jam 4.30 pagi Rabu minggu lalu.

"Dalam kejadian itu, dua lelaki suspek didapati menggertak pekerja premis dengan pisau sebelum melarikan sebanyak 20 paket rokok dan beberapa barangan lain.

"Bertindak atas maklumat, kita kemudian menahan dua suspek termasuk ketua kumpulan berkenaan di Pandamaran, jam 4 petang, dan merampas kayu bola lisut, topi keledar serta motosikal yang digunakan untuk menyamun," katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, hari ini.

Shamsul Amar berkata, polis kemudian menahan seorang lagi individu yang juga abang kepada salah seorang suspek di sebuah rumah di Pendamar Indah, pada jam 2.44 pagi semalam.

Beliau berkata, kumpulan itu dipercayai baru menjalankan aktiviti berkenaan dan terbabit dalam dua kes samun kedai serbaneka 24 jam di daerah ini.

"Siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengesan seorang lagi lelaki dikenali sebagai 'Abon' yang sudah menghilangkan diri.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu samun berkawan dengan senjata dan suspek ditahan reman hingga Sabtu ini," katanya.

Berita Harian X