Isnin, 20 November 2017 | 1:10pm

Bekas pengasuh di penjara dera kanak-kanak

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini memerintahkan seorang bekas pengasuh dipenjara enam bulan atas pertuduhan mendera seorang kanak-kanak lelaki berusia satu tahun tujuh bulan, tahun lalu.

Keputusan itu dibuat Hakim Datuk Azman Abdullah terhadap Nur Fadilah Mohamad Mas Sari, 23, (responden) selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan untuk hukuman lebih berat dikenakan ke atas responden.

Pada 10 Mac lalu, Mahkamah Majistret menjatuhkan hukuman denda RM6,000 terhadap tertuduh selepas mengaku salah atas tuduhan itu dan memerintahkan lima bulan penjara, sekiranya gagal membayar denda.

Azman dalam keputusannya, berkata hukuman yang dikenakan ke atas responden adalah dengan mengambil kira umur mangsa yang masih muda.

Sehubungan itu, beliau mengekalkan hukuman denda RM6,000 dan menambah hukuman penjara selama enam bulan berkuatkuasa hari ini.

"Tujuan hukuman bukan semata-mata untuk responden berasa takut dan insaf tetapi turut dijadikan pengajaran kepada orang luar yang menjaga bayi," katanya.

Mengikut kertas pertuduhan, wanita itu didakwa melakukan kekerasan kepada kanak-kanak terbabit dengan cara memicit hidung, mencubit pipi kiri, menekup mulut secara kasar dan menampar pipi sebelah kiri mangsa.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah TASKA di Wangsa Maju, di sini pada jam 2.30 petang, 14 April tahun lalu.

Respondan didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum bawah seksyen sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya.

Berdasarkan fakta kes, pengadu yang juga bapa kanak-kanak itu diberitahu oleh bekas isterinya, anak mereka mengalami kecederaan di muka seperti kesan tapak tangan seperti di tampar di pipi kiri ketika mengambil kanak-kanak itu.

Selepas itu, mereka pergi ke TASKA yang menjaga anaknya untuk berjumpa dengan seorang pekerja di situ dan melihat rakaman kamera litar tertutup yang menunjukkan pekerja itu sedang memukul serta melemaskan anak mereka.

Pengadu bertanya kepada pekerja itu mengapa dia berbuat begitu, namun pekerja terbabit menafikannya dan menyatakan dia berbuat begitu kerana tidak boleh mengawal perasaan marah berikutan kanak-kanak itu tidak mahu minum susu.

Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Aznika Mohd Anas manakala Zamani Mokhtar bertindak sebagai peguam responden.

Berita Harian X